Kerajaan Komited Bantu Martabat Budaya Kaum Lundayeh – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Ke arah membantu memartabatkan budaya suku kaum Lundayeh di Sabah, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM 400,000, di sini pada Sabtu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan untuk Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) itu akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Sipitang.

Beliau berkata, peruntukan itu diberikan bagi memastikan masyarakat Lundayeh turut menikmati kemajuan dan pembangunan.

“Keseimbangan pembangunan perlu dinikmati oleh rakyat.Tiada ertinya kita merdeka hampir 60 tahun sekiranya rakyat masih belum mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Irau Rayeh Lundayeh Sabah kali ke-14, di Kompleks PKLS, Sipitang, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga memberi jaminan untuk meningkatkan peruntukan dalam biasiswa agar anak-anak masyarakat Lundayeh juga dapat manfaat daripada biasiswa berkenaan.

Mengenai usaha mempromosi budaya suku kaum yang ada di negeri ini termasuk Lundayeh, beliau mahu budaya bertindak sebagai ikatan perpaduan dan bukannya alat untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum yang ada di Sabah.

“Maka saya berharap jangan ada rakyat yang mengamalkan budaya dan amalan beragama yang ekstremis. Jika sikap perkauman menjadi amalan, kita tidak akan dapat menjayakan perpaduan.

“Sudah sampai ketikanya hak-hak kepelbagaian budaya ini dijaga dan dipertahankan dengan baik di Sabah dan juga di negara ini.

“Saya yakin dibawah pimpinan kerajaan baharu ini kita akan dapat mempertahankan hak orang Sabah termasuk masyarakat Lundayeh terutama dalam aspek pendidikan dan budaya,” jelasnya.