Kerajaan Kenal Pasti Langkah Bantu Penggiat Industri Pelancongan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengenal pasti pendekatan terbaik dalam membantu penggiat industri pelancongan yang terjejas berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beberapa siri mesyuarat telah dilakukan termasuk bersama Kementerian Kewangan untuk mencari kaedah terbaik membantu industri berkenaan.

“Kita sentiasa mendengar masalah yang dihadapi penggiat industri dan kita mengambil serius permasalahan ini. Kita juga sedang mengumpul maklumat berkaitan mengenai masalah ini.

“Atas sebab itu, kerajaan akan memberi bantuan kepada penggiat industri dalam masa terdekat termasuk memperkenal pakej ransangan pelancongan serta mengadakan sesi townhall di empat buah negeri termasuk Sabah,” katanya ketika ditanya mengenai permintaan industri untuk diberikan subsidi dalam berdepan keadaan semasa.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2020, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau faham penggiat industri kini berdepan dengan pembatalan penginapan dan pakej pelancongan.

“Jika dilihat peratus tempahan penginapan menurun antara 10 hingga 30 peratus. Tempahan pelancongan dalam negeri juga banyak yang dibatalkan.

“Ada lebih kurang 5,000 kumpulan pelancong telah membatalkan tempahan untuk masuk ke Malaysia.

“Kita akan melihat perkara ini dengan lebih mendalam supaya kita dapat membantu mereka yang kini berdepan dengan pendapatan yang berkurangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian itu tidak akan menyelaras semula sasaran kemasukkan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020).

Katanya, sasaran tersebut masih kekal 30 juta orang dengan hasil pelancongan berjumlah RM100 bilion.

“Masalah yang berlaku sekarang adalah masalah seluruh dunia, masih terlalu awal untuk mengatakan kita gagal mencapainya.

”Sekiranya kita gagal mencapai sasaran, orang akan faham kenapa ianya gagal, namun kita tidak akan menyelaras semula sasaran yang sudah ditetapkan,” ujarnya.

Mengenai perancangan berdepan krisis yang dihadapi sekarang, Mohamaddin berkata, semasa berlaku wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS), negara-negara di peringkat ASEAN sudah mewujudkan satu badan untuk menangani krisis berkaitan wabak.

Berkenaan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak Covid-19 hanya akan dapat dirawat dalam tempoh 18 bulan, beliau berkata, kementerian akan memantau perkembangan wabak itu sehingga Mac sebelum menetapkan langkah berikutnya yang boleh diambil di peringkat kementerian.