Kerajaan Iktiraf Warga Emas; Bantuan Kewangan Berterusan

Tun Juhar melancarkan Hari Warga Emas Tahun 2018 di Nabawan. Bersama dia Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jaujan Sambakong.

NABAWAN: Kerajaan mengiktiraf dan meraikan seluruh warga emas melalui Sambutan Hari Warga Emas setiap tahun di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, menjadi obligasi sosial dan komitmen kerajaan untuk menyediakan persekitaran kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas menua secara aktif, produktif dan sihat.

“Di antara inisiatif sedia ada ke arah warga emas sihat dan aktif adalah penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Program Khidmat Bantu Di Rumah atau Home Help yang memberikan khidmat sokongan yang bercorak ‘outreach and developmental’ kepada warga emas di rumah oleh sukarelawan kebajikan.

“Penerimaan sumbangan Bantuan Orang Tua di seluruh Sabah yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dari Januari 2018 hingga sekarang adalah seramai 27,514 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM85,872,500.

“Di Nabawan, 954 warga emas penerima bantuan yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM333,900,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas 2018 di Dewan Sekolah Kebangsaan Nabawan, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Menurut Shafie, kerajaan turut memberikan bantuan kewangan yang berkonsepkan ‘pemelegaan’ untuk warga emas yang berkeperluan seperti Bantuan Orang Tua pada kadar RM350 sebulan serta bantuan kepada penjaga pesakit warga emas yang kronik atau terlantar sebanyak RM350 sebulan supaya warga emas dapat terus tinggal dalam komuniti.

Tambah Shafie, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.

Pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Juhar Mahiruddin menyempurnakan lafaz perasmian sambutan berkenaan yang turut diserikan Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Ahmad Abdul Rahman, Pegawai Daerah Fredian Gan dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Mohamad Noor Wahab serta 250 warga emas mewakili Rumah Orang Tua dari Sandakan, Kinarut dan Tawau termasuk para warga emas dari Nabawan, Pegalungan, Keningau dan Sook.