Kerajaan GRS Masih Stabil, Tiada Pertukaran – Hajiji

PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menepis dakwaan wujud pertukaran kerajaan di Sabah.

Beliau berkata, ini satu propaganda yang dimainkan pihak tertentu dengan niat untuk mengelirukan rakyat atau cuba merosakkan perpaduan dalam kalangan parti pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kerajaan GRS begitu stabil dan kita mempunyai satu keadaan politik yang stabil. Kita telah diberi mandat untuk memerintah jadi fokus kita adalah untuk membangunkan negeri Sabah.

“Saya tidak menumpukan perhatian kepada isu seumpama ini dan hari ini, kita baca Setiausaha Agung PBS telah membuat penafian mengenai perkara ini,” katanyan selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Meruntum yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Serigai, di sini hari ini.

Hajiji berkata, ini hanya mainan pihak tertentu untuk menggugat perpaduan dalam kerajaan GRS yang baru memerintah.

Ketua Badan Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini berharap rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dengan isu yang dimainkan ini kerana ketika ini kerajaan hanya ingin membangunkan negeri Sabah seperti mana yang diharapkan oleh rakyat.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memberi kebenaran untuk mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Meruntum untuk membina semula penempatan di tanah milik kerajaan itu.

Beliau berkata, pembinaan semula itu akan dipantau oleh pegawai daerah bagi memastikan hanya mangsa-mangsa kebakaran sahaja yang dibenarkan untuk membangunkan semula rumah di kawasan tersebut.

Menurutnya, tanah perkampungan itu merupakan tanah rizab kerajaan dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah akan tetap membenarkan pembangunan semula perkampungan itu dilakukan.

Hajiji berkata, bantuan untuk mangsa-mangsa kebakaran akan terus diberikan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang berdepan kesusahan ini.

Katanya, kerajaan menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) turut memberikan bantuan daripada tabung zakat untuk diagihkan kepada keluarga yang terlibat.