Kerajaan Fokus Bangunkan Negeri Tahun 2020

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan semua pemimpin agar berhenti berpolitik sebaliknya fokus untuk membangunkan ekonomi Sabah dengan agresif tahun ini demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ketua Menteri berkata, walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi, namun kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya sumber alam yang ada untuk membangunkan pelbagai sektor termasuk perindustrian serta  perusahaan kecil dan sederhana.

Katanya, hanya dengan membangunkan ekonomi negeri barulah peluang pekerjaan dapat dicipta untuk rakyat meneruskan kehidupan seharian tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

“Tahun ini kita akan mulakan gerakan agresif pentadbiran kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi negeri Sabah, saya harap semua pihak akan membantu pembangunan negeri Sabah, sedikit masa lagi di Tawau saya akan rasmikan pembukaan kilang minyak masak di Tawau dan ini merupakan detik permulaan.

“Saya telah minta kepada menteri pertanian, perikanan tanam sayur, ternak ikan, ternak ayam, ternak macam-macam yang ada untuk bukan hanya kita bagi bekalan makanan yang mencukupi tetapi kita mahu pastikan supaya peluang pekerjaan kepada anak-anak di peringkat negeri Sabah dapat kita lahirkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kantung kerajaan negeri sekarang agak baik untuk beliau meneruskan dasar-dasar pembangunan ekonomi selepas membayar hutang sebanyak RM1 bilion pada tahun lalu.

Katanya, melalui penjimatan yang dibuat, kerajaan akan mencari sektor-sektor yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menambah pendapatan kerajaan dan pendapatan untuk rakyat seperti sektor pelancongan serta penghasilan senikraf.

“Jadi saya kena jimat duit untuk buat pembangunan tahun ini kerana kita sudah bayar hutang RM1 bilion maka saya harap ini merupakan satu usaha yang perlu kita lakukan di peringkat negeri Sabah walaupun kita tahu sektor pelancongan merupakan sektor yang kita yakin membawa banyak hasil

tetapi satu hasil negeri Sabah, senikraf ini kita mula buka tahun ini.

“Ini merupakan salah satu sumber pendapatan kerajaan negeri untuk meningkatkan sumber pendapatan kita, banyak lagi yang kita tengah usahakan tetapi dia sedikit masa akan ambil bukan hanya hasil kepada negeri bahkan juga untuk membolehkan peluang pekerjaan yang ada, pembangunan yang akan datang kita pastikan supaya pekerjaan mesti kita lihat sebagai salah satu langkah yang penting, kita tidak mahu melihat projek besar tetapi kerja orang tidak ada, kita beli bangunan tinggi-tinggi tetapi kerja orang tidak ada kalau orang tidak punya kerja itu yang jadi kedai tutup, bila kedai tutup tiada pendapatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap agar rakyat terus bersatu padu dan menyokong kerajaan sedia ada kerana tanpa kesatuan, setiap dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan sukar untuk dicapai.

Jelas beliau, kitaran ekonomi tidak bergantung kepada satu bangsa sahaja sebaliknya semua kaum yang ada memainkan peranan masing-masing menghidupkan ekonomi setempat agar lebih membangun.

“Orang Melayu akan beli beras, orang Melayu jarang ada kedai yang ada kedai orang Cina yang tanam sayur kebiasaan dia orang dusun Kadazan Dusun Murut (KDM) kita di merata tempat, jadi kita mahu makan sayur hari ini, kita makan sayur hari ini juga kita makan ikan banyak nelayan orang Bajau yang ada di negeri sabah yang tangkap ikan yang tangkap macam-macam di lautan.

“Kita mahu pastikan pembangunan ekonomi di negeri ini akan dapat kita tingkatkan saya yakin walaupun cabaran ekonomi dunia yang cukup berat tetapi kita yakin kerana Sabah mempunyai kekayaan dia dan saya yakin mulai tahun ini kita kurangkan politik yang ada kita bagi tumpuan untuk pembangunan kemajuan ekonomi supaya anak-anak yang berasal dari negeri Sabah tidak perlu cari kerja di tempat-tempat lain,” tegasnya.