Kerajaan Disaran Anjur E-Sports, Cungkil Bakat Anak-anak Muda

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Mohd. Azis Jamman berharap kerajaan negeri dapat memperbanyakkan penganjuran program sukan E-Sports seperti Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Mobile Legend: Bang Bang yang kini menjadi tren dalam industri sukan maya seluruh dunia.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, E-Sports bukan lagi sekadar bermain game semata-mata sebaliknya mampu menjanjikan karier yang menguntungkan kepada setiap individu berbakat yang mampu menghidu peluang yang terhidang.

Sehubungan itu katanya, peranan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan amat penting untuk memberikan landasan kepada golongan muda di Sabah menceburi arena sukan maya itu, bukannya terhad kepada sukan konvensional semata-mata.

“Kita harap anjuran Wira Warisan ini menjadi titik tolak khususnya di peringkat kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan contohnya, kita berharap agar menteri kalau boleh anjurkan program-program seumpama ini dengan lebih banyak lagi.

“Kalau boleh melalui kementerian ini juga setelah kita mencungkil bakat-bakat baharu ini kenapa tidak mungkin mewakili negeri Sabah hantar anak-anak muda kita ini bersaing di peringkat antarabangsa kerana saya cukup yakin ini merupakan satu sukan yang telah menarik minat anak-anak muda seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena perlawanan akhir Pertandingan Kaamatan Raya E-Sports Stay Safe membabitkan permainan maya PUBG dan Mobile Legend: Bang Bang anjuran bersama Wira Warisan Sabah dan R Legacy E-Sport malam tadi.

Pertandingan tersebut yang menawarkan hadiah terkumpul RM10,000 dan bagi pertandingan PUBG dimenangi pasukan Mega Biskut ESport, tempat kedua oleh pasukan STP dan ketiga disandang Tambadau Iron Horn.

Bagi pertandingan Mobile Legend pula, tempat pertama digondol oleh pasukan Team Blazer manakala naik johan Moonchild dan Team Craze di tempat ketiga.

Kejohanan itu mempromosikan saranan kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan penularan wabak Covid-19 dengan setiap peserta hanya menggunakan telefon bimbit dari rumah dan mendapat penyertaan kira-kira 5,000 pemain daripada 1,056 pasukan.

“Tujuan program ini ialah selain daripada menyokong saranan kerajaan supaya orang ramai duduk di rumah sepanjang PKP dan PKPB, maka Wira Warisan ambil inisiatif ini untuk menganjurkan program yang ramai di kalangan anak-anak muda kita sekarang cukup berminat untuk main.

“Selain kita mahu anak-anak muda kekal di rumah kita juga berhasrat untuk mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak-anak muda kita yang mana kita mungkin satu hari nanti boleh ketengahkan dan mungkin boleh bawa ke peringkat antarabangsa atau pun ke peringkat nasional kerana kita tahu hari ini game seperti PUBG dan Mobile Legend telah menyaksikan ramai anak-anak muda telah menjadi jutawan,” katanya.

Mohd. Azis berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mengubah mentaliti yang menganggap bermain game hanya membazir masa, sebaliknya mereka boleh memberi galakan kepada anak masing-masing dengan bimbingan agar pada masa sama, pendidikan tidak terabai.

“Jangan dilupakan sektor akademik sebab itu saya kata boleh dijadikan kerjaya profesional tetapi tidak juga pula kita mengorbankan sisi akademik jadi inilah antara cabaran yang perlu kita hadapi khususnya memberi penerangan ibu bapa kita.

“Jangan anggap bahawa anak-anak kita yang mahir dalam sukan ini menganggap ini sebagai membuang masa kalau kita memberi galakan yang baik berjaya, sebab itu saya nasihatkan ibu bapa berikan galakan dengan bimbingan, bimbingan ini penting agar mereka tidak meninggalkan sektor akademik,” tambahnya.