Kerajaan Dicadang Perluas Caruman Perkeso Kepada Kakitangan Kontrak dan Sementara

327

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan dicadang memperluas skim perlindungan keselamatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kakitangan awam negeri yang berstatus kontrak dan sementara bagi menjamin kebajikan golongan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu penting kerana kakitangan awam negeri yang berstatus kontrak terabai daripada segi pembelaan kebajikan sekiranya ditimpa kemalangan di tempat kerja.

“Saya sering dihubungi oleh golongan berkenaan yang memohon bantuan untuk membiayai kos-kos perubatan mereka dan sudah pasti kemampuan saya untuk membantu sangat terbatas.

“Oleh itu diharapkan pihak kerajaan negeri dapat memberi perhatian keatas perkara ini dan menyediakan bajet peruntukan untuk caruman Perkeso terhadap kakitangan awam berkenaan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Nizam berkata, kes kemalangan dan kematian kakitangan awam berstatus kontrak dan sementara dirujuk kepada Perkeso tetapi Perkeso tidak dapat berbuat apa-apa kerana pekerja berkenaan tidak dicarumkan.

“Sebenarnya pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 telah diwartakan pada 20 Mac 2013 di mana kerajaan telah meluluskan cadangan peluasan skim perlindungan Perkeso ini kepada kakitangan awam berstatus sementara dan kontrak dalam perkhidmatan persekutuan dan negeri, badan berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Oleh itu saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap perkara berkenaan bagi mencerminkan kepekaan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan itu,” tambahnya.

Sementara itu, Nizam juga mencadangkan agar satu loji rawatan air yang baharu dibina di Sungai Apas, Tawau bagi menyelasaikan bekalan air bersih di sekitar Kampung Apas, Kampung Wakuba, Kampung Gading, Kampung Membalua, Kampung Batu Payung, Kampung Ranggu dan Bandar Sri Indah.

“Bekalan air di kawasan berkenaan selalu mengalami gangguan dan ia barlaku walaupun bukan musim kemarau yang sebelum ini musim kemarau dijadikan alasan utama yang menyebabkan gangguan bekalan air bersih berkenaan,” katanya.