Kerajaan BN Sentiasa Peka, Ambil Berat Keperluan Rakyat Sabah – Musa

KUNDASANG: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu penduduk Sabah terus bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan segala perancangan demi membangunkan negeri itu.

Menurutnya kerajaan BN sentiasa peka dan mengambil berat terhadap keperluan dan permintaan rakyat untuk memastikan Sabah terus maju.

Ketua Menteri disambut meriah ketika merasmikkan Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Selatan di Dewan Masyarakat Tun Hamdan Tamparuli.

“Jangan kita menjadi keliru atau terikut-ikut dengan parti pembangkang yang mempunyai pemimpin gila kuasa untuk menjadi calon serta kecewa terhadap parti terdahulu.

“Sebaliknya rakyat perlu terus bersama dengan kerajaan BN yang faham dengan kehendak rakyat,” katanya ketika berucap semasa membuat lawatan mesra di Tamu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kundasang, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Anggota Parlimen Ranau, Datuk Ewon Ebin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kundasang, Datuk Dr.Joachim Gunsalam.

Menurut Musa, parti pembangkang hanya mengambil kesempatan mengelirukan rakyat dengan melemparkan pelbagai fitnah termasuk menyatakan Yayasan Sabah bangkrap.

“Ini semuanya fitnah yang tidak berasas kerana Yayasan Sabah mempunyai aset lebih RM14 bilion dan mempunyai kewangan sebanyak RM420 juta.

“Selain itu kita ada universiti serta kolej dan banyak pelajar yang telah mendapat tajaan untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara…jadi macam mana mereka (pemimpin pembangkang) cakap Yayasan Sabah sedang tenat?” katanya.