Kerajaan Belanja RM15 Juta Bagi Pendidikan dan Bantuan CSR

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Kumpulan Yayasan Sabah telah membelanjakan hampir RM15 juta bagi penyediaan biasiswa, bantuan pendidikan serta bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bantuan-bantuan itu diberikan bagi membantu masyarakat termasuk golongan yang terkesan akibat Covid-19.

“Dalam menyediakan biasiswa, kerajaan telah menyediakan RM50juta bagi menaja pelajar-pelajar melanjutkan pengajian di dalam negara dan luar negara, sekiranya perlu.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan bebanan ibu bapa dan keluarga yang ingin menghantar anak-anak melanjutkan pengajian,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah ke-31, di Menara Tun Mustapha, hari ini.

Mengenai usaha menangani masalah sekolah daif, Mohd Shafie berkata, beliau telah meminta Kementerian Pelajaran dan Inovasi (KPI) dan Yayasan Sabah agar melakukan penyelarasan dalam membantu membangunkan sektor pendidikan di Sabah.

“Sekolah-sekolah daif ini sudah berpuluh tahun begitu. Malah ada sekolah papan yang berkongsi kelas pagi dan petang. Jadi, keadaan ini tidak boleh dibiar berterusan kerana anak-anak kita memerlukan pendidikan.

“Atas sebab itu, kita akan pastikan pada masa akan datang, peruntukan bagi KPI ini mencukupi untuk bolehkan kita membantu sekolah-sekolah daif tanpa perlu menunggu kerajaan persekutuan.

“Biarpun mengikut perlembagaan dan peraturan, prasarana seperti jalan raya, sekolah dan keselamatan berada di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, tapi kita tidak hanya terus menunggu.

“Sesetengah sektor seperti pendidikan perlu perhatian segera kerana Sabah mempunyai 570 sekolah yang daif,” ujarnya.

Dalam majlis itu, 40 penerima hadir menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah ke-31.

Jumlah penerima bagi anugerah berkenaan ditingkatkan daripada 25 orang kepada 40 orang sejak 2018.

Sejak 1990, sejumlah RM102.2 juta diperuntukkan kepada 593 orang penerima. Daripada jumlah itu, 414 orang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan 39 orang memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam bidang masing-masing.