Kerajaan Barisan Masih Gagal Bantu Rakyat Di Pinggir Bandar – DAP

Tan Lee Fatt bersama rakan DAP ketika menyampaikan akhbar di pasar Manggatal baru baru ini.

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
KOTA KINABALU: Masalah paip air di Kampung Pulutan, sehingga kini masih lagi belum selesai dan penduduk terpaksa menggunakan air graviti yang disenggara sendiri.

Apa yang menghairankan kawasan ini seperti di Telipok, Manggatal dan Inanam masih lagi tiada bekalan air paip sempurna walaupun dekat dengan bandaraya Kota Kinabalu, dan terpaksa menggunakan sistem agihan air graviti.

Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt berkata, berdasarkan laporan jawatankuasa kira kira wang Negara pada Parlimen ke-13 lalu, sejumlah RM2 bilion peruntukan dan perbelanjaan telah digunakan untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah.

Pelaksanaan Program BALB di bawah Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) dan Rancangan Malaysia ke 10 ialah meningkatkan pembangunan Luar Bandar dan telah bermula sejak tahun 2010 di bawah program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 (tahun 2010 hingga tahun 2012) dan GTP 2.0 (tahun 2013 hingga 2015).

Sebanyak 211 projek BALB dirancang dengan peruntukan sejumlah RM2.03 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan. Program BALB juga memperluaskan liputan bekalan air di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Salah seorang penjaja menunjukkan Roketkini – akhbar keluaran DAP.

Objektif program BALB ialah menyediakan kemudahan bekalan air bersih dan terawat agar taraf kesihatan dan kualiti hidup masyarakat di kawasan luar bandar dapat dipertingkatkan di samping merangsangkan pembangunan ekonomi, industri, pertanian dan juga pelancongan.

Laporan Ketua Audit Negara tahun 2015 dalam laporan jawatankuasa kira kira wang Negara Parlimen ke 13 juga menyebut bahawa terdapat projek tidak siap pada tempoh yang ditetapkan, kajian awal yang dilaksankan oleh perunding tidak menyeluruh, kooridnasi yang lemah oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) dan prestasi penyambungan air pengguna di tahap yang rendah.

DAP melalui program Impian Sabah telahpun membelanjakan lebih RM1 juta bagi membina sistem agihan air graviti di kawasan pedalaman.

Pada 24 hingga 26 November yang lalu, Lim Kit Siang bersama barisan pemimpin DAP Sabah telah menyaksikan perasmian projek Sistem Agihan Air graviti di Kampung Pangkas Ulu Keningau, Kampung Magatang Transpegalan dan Kampung Molosok di Sook, dan juga di Kampung Kelanaan, Melalap.

Jelas, walaupun DAP hanya pembangkang di Sabah, kita masih dapat membantu rakyat, tegas Tan.

“Ini sudah cukup jelas bahawa BN tidak lagi boleh diharap untuk membantu rakyat walaupun hanya menyediakan kemudahan asas seperti air,” kata beliau.

“Sebagai pemimpin, saya perlu memberitahu dan mengingatkan rakyat tentang penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat oleh BN.

“Di samping itu juga, saya juga mengambil peluang ini untuk mendalami masalah rakyat dan cara untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih berkesan apabila DAP dan Pakatan Harapan memegang tampuk pimpinan selepas PRU-14 nanti.”

Salah satu cara DAP untuk mengenali dan mendengar permasalahan rakyat setempat adalah melalui mengedar suratkhabar Roket di tamu-tamu seperti di pekan Telipok dan pekan Manggatal.

Tan yang juga merupakan Penyelaras DAP Sepanggar, berkata antara intipati isu yang menjadi bualan masyarakat adalah berkenaan GST dan kenaikan ketidaktentuan harga minyak setiap minggu yang pasti menyusahkan rakyat.