Kerajaan Akan Terus Menggazetkan Perkampungan Yang Belum Diwartakan

Jaujan (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan selepas mesyuarat itu pada Jumaat.

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus mewartakan kawasan perkampungan yang belum digazetkan agar kemudahan-kemudahan asas dapat dibangunkan untuk penduduknya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, sehingga kini sebanyak 100 buah perkampungan sudah diwartakan di seluruh negeri dan usaha berkenaan akan terus dilaksanakan.

“Berdasarkan data terkini, bandaraya Kota Kinabalu sahaja mempunyai sebanyak 54 perkampungan yang masih belum diwartakan. Ianya melibatkan sejumlah 7,900 buah rumah, 7,812 bilangan keluarga dan 34, 173 bilangan penduduknya.

“Untuk jumlah keseluruhan di Sabah, sebanyak 173 perkampungan masih belum diwartakan yang melibatkan sejumlah 21, 785 buah rumah, 21, 408 bilangan keluarga dan melibatkan seramai 119, 015 penduduk. Jumlah ini tidak termasuk bilangan di bandaraya ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Induk Setinggan Peringkat  Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, data yang diperolehi itu tidak melibatkan warga asing sebaliknya semuanya adalah warga negara yang tinggal kawasan perkampungan yang tidak diwartakan.

“Antara usaha diambil bagi mengurangkan masalah setinggan adalah menggazetkan kawasan belum diwartakan sebagai perkampungan dengan menyediakan kemudahan asas serta infrastruktur.

“Laksana kaedah ‘in-situ’, menawarkan pembinaan rumah mampu milik dan rumah kos rendah, tanggungjawab pengusiran di atas tanah hakmilik adalah menjadi tanggungjawab pemilik tanah sendiri.

“Kaedah ‘land swap’ untuk tanah hak milik yang terlibat dengan  setinggan dan penempatan semula setinggan melalui tawaran lot-lot atau tapak atau unit rumah yang sesuai,” katanya.

Jaujan turut menjelaskan tanah-tanah yang dimiliki kerajaan Persekutuan perlu dipagarkan oleh pihak berkaitan agar ianya tidak diceroboh oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Jawatankuasa Induk Setinggan Sabah akan bermesyuarat setiap tiga bulan.

Katanya, jawatankuasa berkenaan sebenarnya sudah wujud sekian lama tetapi mungkin terdahulunya difikirkan tidak memainkan peranan besar maka mesyuarat tidak pernah diadakan.

“Ini adalah mesyuarat pertama diadakan sejak kita ambil alih kerajaan dan kita melihat isu setinggan ini sangat penting.

“Kawasan-kawasan perkampungan yang tidak diwartakan ini berpotensi bagi mewujudkan masalah sosio ekonomi. Perumahan yang tidak tersusun boleh menyebabkan kebakaran, ia juga menyebabkan wujudkan kecurian bekalan air dan letrik,” jelasnya.

Tambahnya, masalah kecurian bekalan air dan eletrik di kawasan berkenaan akan merugikan agensi terbabit serta kerajaan.

“Jawatankuasa ini penting diaktifkan di kawasan zon ekonomi seperti Kota Kinabalu, Tawau, Semporna dan bandar-bandar lain.

“Kebanyakkan setinggan wujud di kawasan zon ekonomi sehingga menyebabkan wujudnya pemandangan yang kurang selesa,” katanya.

Tambahnya, setiap daerah juga perlu mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi menyalurkan data kepada jawatankuasa induk berkenaan.