Kerahkan Pasukan Keselamatan Gotong-Royong Bantu Mangsa Banjir

DARELL LEIKING

PENAMPANG: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa Perdana Menteri untuk mengarahkan pasukan keselamatan untuk turun membantu kerja-kerja pembersihan dan menghantar lebih banyak bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir di Sabah.

Kerajaan boleh mengerahkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Askar Wataniah, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk membantu bergotong-royong kawasan yang terjejas banjir di sekitar daerah ini.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, ketika ini bantuan makanan dan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh sukarelawan daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk terjejas banjir.

Namun, mereka masih memerlukan bantuan bagi membersihkan kawasan yang disaluti lumpur tebal dan ia memerlukan tenaga manusia yang lebih ramai.

“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya ingin melahirkan penghargaan terhadap NGO dan persatuan yang datang membantu penduduk Kampung (Kg) Sugud dan Kg Maang sama ada dengan memberi bantuan makanan keperluan, air mineral, pakaian dan bantuan perubatan. Semangat saling membantu ini sangat menyentuh hati saya, hanya Tuhan mampu membalas jasa anda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sukarelawan Warisan yang turut sama membantu sejak Jumaat lalu sehingga hari ini. Namun, masih banyak yang perlu dibersihkan. Jentera tidak boleh digunakan maka, sukarelawan Warisan terpaksa membersihkan lumpur secara manual.

“Sebagai sukarelawan yang tidak pernah menjalani latihan fizikal untuk bekerja tanpa henti untuk jangka masa yang lama, ramai pasukan kami yang mengalami kekejangan. Namun, usaha tetap diteruskan bagi membantu penduduk kampung yang terjejas sedaya upaya yang boleh.

“Tapi, sukarelawan kita tidak akan mampu bekerja untuk tempoh yang lebih lama kerana ini memerlukan kekuatan fizikal.

“Oleh itu, saya berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perdana Menteri akan mengeluarkan arahan kepada anggota tentera di Kem Lok Kawi dan askar Wataniah di Bukit Perwira untuk turun membantu membersihkan rumah penduduk, menghantar bantuan makanan serta membantu membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan di kedua-dua kampung ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog ini berkata, keutamaan ketika ini adalah membersihkan lumpur dan pada masa sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian bagi membantu penduduk membaik pulih dan membina rumah yang musnah akibat banjir.

“Apa yang saya dan Presiden Warisan dapat lihat di Kampung Sugud, kejadian ini merupakan satu tragedi yang di luar imiginasi kita. Seluruh kampung dilanda banjir lumpur dan kejadian ini bukan seperti banjir biasa yang berlaku. Ini kejadian luar biasa.
Oleh itu, kerajaan perlu mencari kaedah penyelesaian sementara dan jangka panjang bagi mengatasi tragedi ini.

“Sementara waktu ini, kerajaan harus mempertimbangkan pemberian kayu dan zink secara percuma bagi membolehkan penduduk di sini membaik pulih mahupun membina semula rumah mereka dengan bantuan pasukan keselamatan.

“Pada masa sama, Jabatan Kebajikan juga perlu digerakkan bagi mengambil data mereka yang memerlukan bantuan segera. Jangan tunggu penduduk terjejas yang datang ke pejabat membuat permohonan.

“Kerajaan GRS perlu lebih sensitif dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk terjejas banjir dan berusahalah membantu sebaik mungkin,” ujarnya.