Keputusan Ujian Swab COVID-19: Penantian Itu Satu Penyeksaan – Wartawan

Gambar hiasan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN: Enam hari terasa bagaikan enam minggu. Penantian untuk mengetahui keputusan ujian swab COVID-19 nampaknya lebih ‘menyakitkan’ berbanding ketika menjalani ujian itu sendiri.

Bagaimanapun, apabila pihak berkuasa kesihatan menghubungi saya semalam untuk memaklumkan bahawa keputusan ujian itu adalah negatif, terasa seperti beban berat yang terpaksa saya galas hilang serta-merta.

Saya kembali ke Labuan pada 28 Sept untuk meneruskan tugas sebagai koresponden Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pulau bebas cukai itu selepas ditugaskan membantu biro Kota Kinabalu agensi berita tersebut membuat liputsan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah.

Saya telah membawa isteri dan anak lelaki kami yang berusia 32 bulan sepanjang keberadaan saya di Kota Kinabalu iaitu dari 24 hingga 27 Sept. Hari pengundian PRN Sabah jatuh pada 26 Sept.

Peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah amat merungsing pengamal media termasuk sekumpulan petugas yang datang dari Kuala Lumpur, ketika membuat liputan mengenai kempen, proses pengundian dan keputusan pilihan raya itu.

Antara tugasan saya pada hari pengundian ialah membuat liputan pada satu majlis membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kampung Ketiau, Putatan yang dirasmikan Ketua Penerangan Perikatan National (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada sebelah pagi hari pengundian, saya ditugaskan ke SK Pekan Tambunan di mana Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengundi. Jeffrey kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Pada sebelah petang, saya berada di ibu pejabat UMNO Sabah di mana beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan persekutuan berhimpun untuk mengetahui keputusan pengundian.

Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa satu daripada soalan yang saya kemukakan kepada Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin telah tular di media sosial.

Saya telah menyoal sama ada beliau melihat akan timbul masalah di kemudian hari susulan perkongsian kuasa antara PN dengan BN, dan Bung Moktar menjawab: “Masalah akan timbul apabila kita timbulkan masalah. Kalau tidak, tidak ada masalah.”

Bung Moktar kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri manakala Ketua PN Sabah Datuk Hajiji Noor dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Selepas menyelesaikan tugasan berkaitan UMNO Sabah, saya bergegas pula ke Magellan Sutera Resort di mana para pemimpin PN berkumpul untuk mengetahui keputusan PRN Sabah.

Sebelum itu saya turut melakukan perjalanan dari Labuan ke Sabah semasa hari penamaan calon pada 12 Sept serta ke kawasan Dewan Undangan Negeri Bongawan, Membakut, Pantai Manis, Kawang dan Limbahau untuk mengumpul maklumat bagi menyediakan laporan berbentuk analisis.

Di semua lokasi terbabit, saya telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka dan sentiasa menggunakan pensanitasi tangan.

Isteri mengingatkan saya setiap hari agar tidak membuka pelitup muka ketika berbual dengan orang ramai dan menggunakan pensanitasi tangan setiap kali selesai membuat liputan sesuatu acara.

Beliau akan meletakkan sebotol pensanitasi tangan dan beberapa keping pelitup muka di dalam beg komputer riba saya sebelum saya keluar bertugas.

Apabila saya pulang, isteri akan menyuruh saya mandi dan meletakkan semua pakaian yang saya pakai ke dalam sebuah beg khas sebelum dicuci.

Anda tersalah anggap jika anda fikir bahawa wartawan atau pengamal media dikecualikan daripada menjalani ujian swab COVID-19 dan kuarantin selama 14 hari.

Semasa kami pulang ke Labuan pada 27 Sept, isteri, saya dan anak lelaki kami dikehendaki menjalani ujian swab serta terpaksa memakai gelang yang hanya dibuang hari ini di Jabatan Kesihatan Labuan selepas keputusan ujian tersebut adalah negatif.

Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 14 dan melakukan satu lagi ujian swab pada hari ke-13 untuk memastikan bahawa saya benar-benar bebas daripada COVID-19 seperti yang dikehendaki Bernama.