Keputusan Tangguh Kemasukan Kapal Asing ke Pelabuhan Labuan Kekal

LABUAN: Keputusan untuk menangguhkan kemasukan semua kapal asing ke Pelabuhan Labuan kekal, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Santhara Kumar Ramanaidu.

“Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Datuk P. Kamalanathan dalam portal berita MalaysiaKini menyatakan ‘Pelabuhan Labuan akan dibuka semula kepada kapal asing’ (23 Julai) adalah tidak tepat.

“Mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan (CCMCWP) yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan semalam (23 Julai) memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang dibuat jawatankuasa itu pada 16 Jun untuk menangguhkan permohonan bagi semua aktiviti kapal dagangan asing sehingga peralihan Wilayah Persekutuan Labuan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi pandemik COVID-19 di Labuan masih dalam fasa pemulihan dan dengan wilayah persekutuan itu sedang menunggu untuk beralih ke Fasa Dua PPN.

“Bagi memastikan kejayaan Labuan dalam Fasa Dua PPN, mesyuarat itu telah memberikan arahan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan untuk mengetatkan kawalan COVID-19 sedia ada termasuk di sekitar sempadan pulau itu bagi memastikan tiada penularan baharu terutamanya daripada varian berbahaya seperti Lambda yang boleh menyebabkan Labuan kembali ke situasi sukar seperti sebelum ini,” kata Santhara.

Beliau berkata kapal tempatan yang membawa barangan keperluan bagi penduduk tempatan masih dibenarkan untuk singgah di Pelabuhan Labuan. 

“Kapal dagang antarabangsa yang mempunyai ‘keperluan mendesak’ demi kepentingan negara boleh dipertimbangkan untuk memasuki Pelabuhan Labuan.

“Bagaimanapun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk kuarantin selama 21 hari sebelum kebenaran berlabuh dipertimbangkan,” katanya.

Santhara juga berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Labuan untuk menyediakan SOP yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi untuk mengawal aktiviti berrkaitan perkapalan dan minyak dan gas sebagai persediaan peralihan wilayah persekutuan itu ke Fasa Dua PPN.