Keputusan Mahkamah Rayuan Berhubung Status Kewarganegaraan Wong Kueng Hui – UPKO Sambut Baik

KOTA KINABALU : Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan  pada 19 Januari lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status warganegara seorang pekerja rencam, Wong Kueng Hui, 27 tahun dari Sabah.

Keputusan dengan majoriti 2-1 itu sekaligus menolak rayuan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), berhubung isu status kewarganegaraan Wong.

Presiden UPKO merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata keputusan mahkamah itu membawa berita baik kepada individu itu yang memerlukan pengesahan taraf warganegara sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, UPKO berharap Kerajaan terutama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

“UPKO juga mendapati keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membuka ruang kepada banyak lagi kes yang memerlukan perhatian yang adil dan berjiwa besar di pihak kerajaan untuk diselesaikan.

“Keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sudah cukup memadai untuk memberikan Wong Kueng Hui dan mereka yang berada dalam dilema yang sama untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, UPKO berharap kerajaan akan menggunakan keputusan ini sebagai satu rujukan yang penting untuk menyelesaikan kes-kes sama yang memerlukan tindakan penyelesaian jangka panjang.

Tegasnya penyelesaian menyeluruh ke atas kes-kes seperti ini amat penting bagi individu yang terlibat dalam kes sedemikian.

“Kita tidak boleh menyerahkan kepada keputusan mahkamah semata-mata. Sebaliknya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, khususnya Kerajaan  Sabah dalam kes ini, perlu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan kes-kes seperti ini.”

Tambahnya, jika perlu, undang-undang semasa perlu disemak dan dipinda bagi mengelakkan beban tidak wajar di pihak individu seperti Wong Kueng Hui selepas ini.

Terdahulu, kerajaan melalui KDN mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan status warganegara lelaki itu.

Wong dilahirkan di Hospital Keningau, Sabah pada 2 Januari 1995. Bapanya adalah seorang rakyat tempatan, manakala ibunya dipercayai warganegara Indonesia.

Sebelum ini dia pernah memohon kerakyatan sebanyak dua kali, namun ditolak.

Pada 9 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman plaintif bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir dalam keputusannya berkata wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing memiliki hak yang sama dengan lelaki yang berkahwin dengan wanita asing.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dikekalkan panel hakim Mahkamah Rayuan, Che Mohd Ruzima Ghazali dan M Gunalan manakala Azizah Nawawi menolak.