Keputusan LDP Sertai PN Akan Dipertimbangkan – Hajiji

KOTA KINABALU: Keputusan Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) akan dipertimbangkan sebaiknya, kata Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata apa yang paling penting sekarang adalah untuk PN serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatukan rakyat melalui parti yang menerima perjuangan gabungan berkenaan.

“Jadi kita terbuka dengan cadangan itu (LDP menyertai PN)…sudah tentu kita akan pertimbangkan apabila tiba masanya nanti,” kata kepada pemberita selepas merasmikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan LDP semalam yang menyatakan Majlis Tertinggi parti berkenaan telah meluluskan usul untuk parti tempatan Sabah itu menyertai PN.

Presiden LDP Datuk Chin Su Phin dilaporkan berkata parti itu membuat keputusan tersebut selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 ketika ini.

LDP, ditubuhkan pada 1989, sebelum ini merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak keluar selepas daripada gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dan bekas Presiden parti itu, Tan Sri Chong Kah Kiat merupakan Ketua Menteri Sabah yang ke-13 dari 2001 hingga 2003.