Keputusan Bersatu Umpama Tikam Belakang

6402
Phoong Jin Zhe – Gambar Facebook

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuka cawangan di Sabah disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Phoong Jin Zhe berkata, langkah mengambil pemimpin-pemimpin politik ‘katak’ yang telah meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu juga seperti mempermain dan mengkhianati rakyat negeri ini.

“Walaupun Bersatu mempunyai hak membuka cawangan di mana sahaja tetapi jika tujuannya menyerap masuk pemimpin pembangkang bagi mengganggu kestabilan politik di Sabah, ini umpama menikam belakang sekutu mereka iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) yang turut boleh menyebabkan pergolakan politik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, langkah tersebut merupakan permainan politik yang dahsyat kepada rakyat.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau menyokong penuh dan akan mempertahankan keputusan rakyat Sabah dalam PRU14 dalam memilih pakatan antara Warisan, DAP, PKR dan UPKO yang telah berjaya mencapai majoriti.

Menurut beliau, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal merangkap Presiden Warisan juga sangat memuaskan.

“Di bawah kepimpinan beliau, pembangunan Sabah berada di landasan tepat dan berkembang dengan baik.

“Sebab itulah Bersatu tiada sebab langsung untuk datang ke Sabah yang kononnya untuk menguatkan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Tegas beliau, rakyat sudah penat dengan permainan politik yang melampau dan masa ini sepatutnya digunakan oleh semua wakil untuk menjalankan kerja iaitu berkhidmat dan menambah baik kehidupan rakyat.

“Saya telah menghubungi Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee dan meminta beliau menyatakan rasa tidak puas hati ini kepada Bersatu di peringkat kebangsaan,” tambah beliau.