Keputusan Bersatu ‘Sangat Mengejutkan’

2694
CHRISTINA LIEW

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew mengakui ‘sangat terkejut’ dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka cawangan di Sabah walaupun pernah diberi jaminan oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti itu tidak akan melakukannya.

Christina berkata, perkara itu amat mengejutkan kerana Bersatu telah menyatakan persetujuannya semasa pilihan raya umum lalu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya di Sabah itu PKR serta DAP.

Katanya, pelan pembangunan dan kewangan negeri juga berada dalam landasan baik di bawah pimpinan Warisan, malah rakyat Sabah sangat gembira dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Perkara itu mengejutkan saya kerana rasanya kerajaan negeri sangat baik di bawah pimpinan Mohd. Shafie. Itu tidak boleh dinafikan. Saya rasa majoriti rakyat Sabah menyokong kepimpinan beliau.

“Saya dapat melihat negeri ini sedang menuju ke arah kemakmuran. Tiba-tiba sahaja anda mahu katakan kami tidak melakukan dengan baik, dan anda perlu datang untuk membantu dan menguatkan lagi mereka (Warisan),” katanya kepada pemberita semalam.

Christina berkata, terpulang kepada Mohd. Shafie untuk menyatakan pandangan tentang kemasukkan Bersatu ke Sabah.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata Bersatu akan membuka cawangan di Sabah dan tujuannya bukan untuk mengambil kuasa tetapi menguatkan lagi Warisan.

Katanya, Bersatu akan menyediakan platform kepada bekas pemimpin UMNO Sabah yang tidak mahu menyertai Warisan.

“Jika tidak, kemasukkan bekas ahli UMNO ke parti pembangkang lain akan menyebabkan landskap politik berubah,” katanya seperti dilaporkan.

Dr. Mahathir meyatakan persetujuan yang dicapai amat luar biasa apabila Warisan diberi peluang mengetuai PH di Sabah walaupun bukan menjadi komponen PH.