Keperluan Sabah Adalah Keutamaan Kerajaan Persekutuan – Hajiji Noor

TAWAU: Kepentingan serta keperluan Sabah adalah keutamaan kepada kerajaan persekutuan dan buktinya pelbagai bantuan diberikan kepada Sabah termasuk berkaitan COVID-19, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata antara bantuan itu ialah berkaitan meningkatkan ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

“Bantuan ini sedikit-sebanyak meringankan beban rakyat Malaysia di Sabah dan saya berharap kerjasama dan bantuan daripada kerajaan persekutuan akan berterusan,” katanya dalam kenyataan bersempena lawatan ke Tawau di sini, hari ini.

Hajiji berkata rakyat di negeri itu membuat keputusan tepat dengan memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan menerajui Sabah yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan. 

“Kemenangan GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) membuka jalan kepada kewujudan persefahaman dan kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sementara itu, bersempena Setahun Malaysia Prihatin hari ini, Hajiji mewakili kerajaan GRS serta rakyat di negeri ini menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan persekutuan terutama perdana menteri atas keprihatinan kepada penduduk di Sabah.

Muhyiddin dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini berkata kawalan sempadan menjadi antara agenda utama kerajaan dengan menambah aset serta penggunaan peralatan berteknologi tinggi untuk ditempatkan di sepanjang sempadan termasuk di Sabah.

Perdana menteri juga menyatakan bahawa kerajaan persekutuan bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan untuk meningkatkan capaian Internet terutama di Sabah dan Sarawak menerusi inisiatif Jalinan Digital Nasional (JENDELA) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).