Keperluan Hospital Kota Belud Akan Dipenuhi, Janji Menteri KPLB

Ewon menyampaikan hamper kepada salah seorang pesakit di wad hospital itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Prihatin dengan keperluan di Hospital Kota Belud,Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick akan menyediakan peruntukan bagi memenuhi kemudahan yang diperlukan di hospital berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian ini bersetuju menggunakan peruntukan khas menteri pada tahun hadapan untuk memenuhi keperluan hospital itu. Ia termasuklah pemasangan penghawa dingin di wad pesakit, alat pemanas air, televisyen dalam wad dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan sebagai kemudahan dalam bilik wad pesakit.

“Melalui peruntukan khas menteri pada tahun hadapan, saya telah bersetuju ke atas beberapa keperluan yang telah disampaikan kepada saya.

“Bagi pihak komuniti Kota Belud, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pengarah hospital Kota Belud, semua doktor, jururawat, kakitangan dan anggota hospital atas perkhidmatan terbaik menjaga dan merawat rakyat Kota Belud.

“Walaupun saya sedang bercuti, tetapi saya hadir ke program ini kerana saya tahu di hospital ini ramai doktor dan jururawat yang mengorbankan cuti mereka semata-mata untuk berkhidmat kepada komuniti,” katanya.

Ewon menyaksikan penyerahan kerusi roda daripada Angela kepada Dr.Primus, turut kelihatan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Kota Belud, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Hospital Kota Belud Dr Primus John, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud Angela Teo dan ahli lembaga pelawat.

Dalam majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan 10 buah kerusi roda untuk keperluan pesakit hospital berkenaan dan menyerahkan hamper kepada 70 pesakit di hospital itu. Kerusi roda dan hamper itu disumbangkan oleh Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud.

Ewon turut menyokong usaha pihak hospital untuk meningkatkan serta menambah baik perkhidmatan hospital berkenaan untuk kebaikan seluruh rakyat Kota Belud.

Sementara itu, Dr.Primus berkata, pihak hospital menerima 11 aduan daripada orang ramai sejak tahun 2015 hingga tahun lalu, antaranya kualiti perkhidmatan di kaunter kurang memuaskan, kekurangan kemudahan awam dan tindakan kelewatan.

Mengenai jumlah pesakit talasemia yang menerima rawatan di hospital itu, beliau berkata setakat ini seramai 43 orang iaitu 27 orang dewasa dan 16 kanak-kanak.

“Bagi memudahkan para pesakit talasemia mendapatkan rawatan harian, pihak hospital telah mengubahsuai rumah taska lama kepada Pusat Informatik dan Rawatan Harian Talasemia,” katanya.