Keperluan Buka Sektor Pelancongan Akan Dikaji Semula – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Keperluan pembukaan sektor pelancongan di Sabah akan dikaji semula berdasarkan perkembangan semasa kes Covid-19 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula kebenaran beroperasi untuk aktiviti-aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi sedia ada termasuklah sektor pelancongan.

Mengenai keperluan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, keputusan itu akan dibuat bergantung kepada nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan mengambil kira pertambahan bilangan kes harian Covid-19 di Sabah.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk perkara berkenaan, kerajaan negeri akan memohon daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan tempoh PKPB di Sabah,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Mengenai kebenaran aktiviti perniagaan beroperasi sehingga tengah malam di kawasan PKPB, Masidi berkata, sekiranya terdapat permintaan daripada peniaga, kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara itu.

Bagaimanapun, aktiviti perniagaan di Sabah masih belum pulih sepenuhnya dan ada pemilik perniagaan yang menutup premis lebih awal disebabkan tiada pelanggan selepas masa tertentu.

Kebenaran beroperasi hingga tengah malam ini bergantung kepada kesesuaian perniagaan kerana aktiviti ekonomi sedang dalam proses pemulihan dan rakyat masih teragak-agak untuk keluar.

Menyentuh tentang permintaan ibu bapa bagi membenarkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pulang ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS telah memberi kebenaran untuk pelajar pulang sejak 20 November lalu.

“Bagaimanapun, mana-mana pelajar yang telah balik adalah tidak dibenarkan masuk ke kampus semula.

“Pelajar berkenaan boleh memohon kebenaran pulang ke kampung daripada fakulti masing-masing. Pada masa sama mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan surat akuan ibu bapa dan pelajar untuk keluar dari kampus di Pejabat Kolej Kediaman masing-masing,” jelasnya.