Kepelbagaian Industri Di Sabah Berpotensi Tarik Pelabur Thailand

110
Duta Thailand ke Malaysia H.E Narong Sasitorn (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Kenny dalam perasmian majlis berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan Sabah memberi fokus kepada mempelbagaikan industri dilihat akan membuka potensi pelaburan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah juga melihat kepada usaha menarik lebih ramai pelabur dari Thailand.

”Industri pelancongan di Sabah antara sektor yang boleh diterokai bersama dengan pelabur Thailand. Industri ini semakin berkembang namun, kemudahan penginapan dan bilik hotel tidak mencukupi.

“Negeri ini memerlukan pembinaan lebih banyak hotel. Disamping itu, perkhidmatan makanan, pengangkutan dan kemudahan tempahan tiket juga turut memberi ruang kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan.

“Selain industri pelancongan, Sabah juga sedang mempelbagaikan industri yang ada di negeri ini. Ia termasuk membangunkan sektor pembuatan dan automobil. Industri pemprosesan kayu dan papan lapis juga sedang dipromosikan berikutan kekayaan sumber asli yang begitu banyak di Sabah.

Kerajaan juga menekankan kepada pembangunan industri pembuatan yang bernilai tambah,” katanya ketika Majlis Perasmian ‘Forum & Business Matching Bridging Trade and Investment Relation’ antara Thailand-Sabah, di sini pada Rabu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah mempelbagaikan industri di Sabah itu membuka ruang yang boleh diterokai oleh Sabah dan Thailand.

Kedua-dua negara boleh saling melengkapi kelebihan dan kekuatan masing-masing. Dengan kerjasama itu, Sabah-Thailand mampu bersatu dalam membangunkan sektor dagangan antara kedua-dua wilayah.

Mengenai nilai dagangan Malaysia-Thailand, beliau berkata, ia mencecah AS25 bilion, dengan peningkatan 13 peratus berbanding tahun sebelumnya dan Thailand adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia.

Namun, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah dagangan itu menurun sebanyak 1.7 peratus berikutan beberapa faktor seperti perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, bantahan yang berlaku Hong Kong dan isu Brexit yang memberi ancaman kepada ekonomi dunia.

“Namun, itu tidak harus menganggu kita untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan. Mungkin sudah tiba masanya kita fokus kembali kepada kerjasama ekonomi di rantau Asean atau perdagangan intra-Asean.

“Malah dalam mesyuarat dua hala yang diadakan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan o-cha sempena Kemuncak Asean ke-34 Bangkok pada Jun, Tun Mahahir mahu penekanan diberi dalam meningkatkan dagangan intra-Asean.

“Jika dilihat dagangan antara negara-negara Asean hanya menyumbang 25 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan di Malaysia.

“Jumlah itu agak kecil berbanding kumpulan ekonomi seperti Kesatuan Eropah dan Kesatuan Amerika Utara dimana nilai dagangan yang terlibat lagi besar, iaitu antara 45-50 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia-Thailand sedang berusaha meningkatkan kemudahan dagangan antara kedua-dua negara.

Untuk itu, Sabah juga berusaha untuk memastikan negeri ini berada di landasan yang sama.

Maka, lebih banyak medium perlu disediakan untuk komuniti peniaga dari Sabah dan Thailand berinteraksi bagi menjalan rangkaian kerjasama termasuk menerusi program sebegini.