Kenyataan Cleftus Satu Pembohongan, Hanya Rekaan Imaginasi

92
HASHIM PAIJAN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan menafikan kenyataan Presiden Kebudayaan Rumpun Dayak Sabah, Cleftus Mojingol yang menuduh kerajaan negeri masih belum melantik pemimpin akar umbi serta tidak membayar gaji mereka.

Hashim berkata, fakta yang diberikan Mojingol itu hanyalah rekaan daripada imaginasi beiau semata-mata yang sama sekali salah.

“Lebih daripada 90 peratus pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta Ketua Masyarakat Cina telah pun dilakukan.

“Daripada 3,965 kekosongan jawatan-jawatan tersebut, sebanyak 3,430 telah pun diisi dan semua yang dilantik telah menjalankan tugas masing-masing.

“Sehubungan itu, untuk mendakwa kerajaan masih belum melantik pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Kampung adalah pembohongan nyata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Mojingol dalam kenyataannya mendakwa sejak memerintah kesemua pemimpin akar umbi itu masih belum dilantik, malah masih terdapat banyak kekosongan jawatan itu.

Hashim berkata, bagi jawatan yang masih ada kekosongan, ia disebabkan oleh individu yang dilantik menolak atau lambat memberikan jawapan, namun pengganti mereka telah dicari dan akan mula bertugas tidak lama lagi.

“Terdapat juga beberapa keadaan di sesetengah daerah yang sebelum ini mempunyai dua Ketua Daerah. Amalan tersebut bagaimanapun telah dihentikan,” katanya.

Katanya, Mojingol juga seperti baru tersedar daripada mimpi buruk apabila mendakwa gaji pemimpin-pemimpin tersebut masih belum dibayar, sebaliknya hanya segelintir yang belum mendapatnya kerana urusan tertentu yang akan diselesaikan hujung bulan ini.

“Untuk Mojingol menuduh kerajaan tidak membayar gaji pemimpin akar umbi pula, beliau seolah-olah baru bangun daripada mimpi buruk kerana semua faktanya sekali lagi salah.

“Hampir kesemua lantikan telah menerima gaji dan tunggakan masing-masing, manakala bagi yang masih belum dibayar kerana gagal memberikan maklumat lengkap termasuk akaun bank, sukar untuk Jabatan Bendahari melakukan pembayaran,” katanya.