Kenyataan Kenny Hanya Pandangan Peribadi – PKR Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Kenny Chua hanya pandangan peribadi dan bukan mewakili pimpinan parti.

Timbalan Pengerusi MPN PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata, kenyataan Kenny yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan dilihat agak mengelirukan dan diluar konteks daripada kenyataan asal Naib Pengerusi PKR Sabah tersebut.

Beliau berkata, pimpinan utama Keadilan telah bersidang termasuk Kenny dan semua telah bersetuju dengan kenyataan Pengerusi MPN Keadilan Sabah yang konsisten dengan cadangan Pakatan Harapan (PH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan mengalu-alukan cadangan menjadikan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri, selaku anak Sabah yang pertama.

Kenyataan Kenny yang disiarkan selepas persidangan itu dilihat sebagai kenyataan bersifat peribadi.

Malah, pimpinan utama Keadilan Sabah telah menjelaskan perkara ini dalam pertemuan bersama Anwar semalam dan Presiden PKR itu memahami keadaan yang dihadapi berdasarkan konteks politik negeri Sabah.

Presiden PKR itu juga mengingatkan  pimpinan agar terus memperkukuhkan kedudukan kerajaan negeri Sabah supaya terus mempertahankan mandat rakyat.

Mustapha berharap, akhar tempatan ini lebih berhati-hati dalam mengulas sesuatu berita dan jangan sampai memberi gambaran yang kurang tepat kepada pembaca.

Dalam laporan akhbar itu dua hari lalu, Kenny dikatakan pemimpin pertama PKR berdiri teguh menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri berikutnya sekiranya Perikatan Nasional dapat ditumbangkan.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Kenny berkata, sokongan terhadap Anwar itu merupakan pandangan peribadinya dalam isu berkenaan.

“Ini adalah pandangan peribadi saya mengenai isu ini. Saya menghormati Shafie sebagai Ketua Menteri, tapi sebagai orang parti, kesetiaan saya adalah terhadap presiden saya, yang dimahukan rakyat yang mengundi kita menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas, yang telah dijanjikan akan menjadi Perdana Menteri seterusnya,” katanya.