Kenny Chua Sokong Anwar Sebagai PM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua menyatakan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya, sokongan berkenaan merupakan pandangan peribadinya dalam isu berkenaan.

“Ini adalah pandangan peribadi saya mengenai isu ini. Saya menghormati Shafie sebagai Ketua Menteri, tapi sebagai orang parti, kesetiaan saya adalah terhadap presiden saya, yang dimahukan rakyat yang mengundi kita menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas, yang telah dijanjikan akan menjadi Perdana Menteri seterusnya,” katanya.

Kenny yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata, beliau juga tetap menghormati Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tambahnya, apa juga permainan politik yang berlaku, terdapat isu yang jauh lebih penting perlu diberi perhatian seperti wabak Covid-19.

“Kita masih berjuang membendung wabak Covid-19. Ekonomi ketika ini masih belum stabil dan ia mengakibatkan ramai orang hilang pekerjaan.

“Kita juga masih berusaha menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI). Kerajaan Persekutuan menyatakan IMM13 adalah dokumen terbaik untuk menyelesaikan permasalahan PATI, namun sehingga kini tiada kepastian mengenai perkara ini.

“Terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Maka, persoalan mengenai siapa harus menjadi Perdana Menteri sepatutnya jadi perkara terakhir yang difikirkan oleh semua. Kita akan selesaikan isu iini dalam PRU akan datang,” jelasnya.