Kenny Chua Mahu Berkhidmat Jika Diberi Peluang Kedua

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Selepas melompat parti menyokong Tan Sri Musa Aman, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam kini mahu peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan dalam sistem pentadbiran.

Kenny Chua yang telah dipecat daripada PKR berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat.

“Sejak dari mula dipilih, niat saya ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Inanam dan Sabah amnya.

“Jika diberi peluang sekali lagi, saya akan terus melakukan yang terbaik. Saya mahu perbetulkan apa yang salah dalam sistem sekarang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ini merupakan kali pertama Kenny membuka mulut selepas tindakannya melompat parti menyokong Musa untuk menggulingkan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mengulas tentang tindakannya berpaling tadah, Kenny berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Sabah terus menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau kekal dengan pendiriannya menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenny bagaimanapun telah dipecat daripada PKR berikutan tindakannya cuba menjatuhkan Mohd. Shafie.

“Bertentangan dengan prinsip saya untuk bersama kerajaan negeri diketuai Warisan kerana mereka secara terbuka menyokonf Mahathir.

“Parti itu juga dilaporkan sedia meminda Perlembagaan untuk menjemput beliau ke dalam parti.

“Saya telah cakap berulang-kali lebih baik saya setia kepada presiden parti dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi sebagai Perdana Menteri Malaysia seterusnya yang telah dijanjikan kepada Sabahan dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.