Kenduri Kahwin Disusuli Kenduri Arwah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: “Baru minggu lepas buat kahwin mu adik kami sayang, sekarang kami akan membuat kenduri tahlilmu.”

Demikian luah Dariah Damsah, kakak kepada  Dayana Damsah, 27, mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan empat guru wanita Sekolah Kebangsaan Umas Umas, di Kilometer 32, Jalan Tawau-Kalabakan, di sini, hari ini.

Luahan hati yang di muat naik Dariah di laman sosial facebook miliknya itu mendapat perhatian ramai khususnya keluarga dan kenalan mereka sehingga mendapat lebih 400 komen dan perkongsian.

Saat gembira pasangan pengantin bahari Dayana dan Nurhan, minggu lalu.

Menurut ibu mertua Dayana, Pujiah Nasurin, 56, mangsa bernikah dengan anaknya, Nurhan Ayub, 27, pada 27 Julai lalu di kediaman pengantin perempuan di Kampung Pasir Putih, di sini.

“Kemudian, majlis perkahwinan mereka dilakukan di tempat kami, Sabtu lalu, iaitu pada hari kedua Aidiladha.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan mangsa, semalam, selepas Allahyarham menghantar Nurhan di Lapangan Terbang Tawau,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Unit Forensik Hospital Tawau, hari ini.

Sarifuddin (dua kiri) menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Tambahnya, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada Nurhan, pagi tadi, memaklumkan kejadian menimpa Dayana.

Difahamkan, Nurhan menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur, sekitar jam 10 pagi semalam, sebelum ke Kemaman, Terengganu untuk bertugas di sana.

Bagaimanapun, ia pertemuan terakhir pasangan pengantin baharu itu, sebelum Dayana maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, pagi tadi.

Nurhan dijangka tiba di Tawau jam 7 malam ini.

Nurizyani, baru 3 bulan bertugas di SK Umas Umas.

Seorang lagi mangsa maut, yang juga rakan sekerja Nurizyani Kafli, 24, baru saja tiga bulan bertugas di sekolah rendah berkenaan.

Mereka bersama dua lagi mangsa terselamat dikatakan sering berkumpul di Taman Semarak, sebelum menaiki sebuah kenderaan ke SK Umas Umas.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Tawau apabila beberapa keluarga dan kenalan mangsa termasuk rakan sekerja di SK Umas Umas tidak dapat menahan kesedihan apabila menerima pemergian Dayana dan Nurizyani.

Turut hadir melawat keluarga mangsa penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Sarifuddin Hatta.

Difahamkan, jenazah Dayana dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih, manakala Nurizyani dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Taman Megah Jaya sebaik selesai prosiding ujian saringan Covid-19.

BERITA BERKAITAN :-

Guru Baru Kahwin Antara Dua Maut Kereta Terjunam Dalam Sungai