Kenderaan Polis Terbalik, 2 Anggota Cedera

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Dua anggota polis lelaki menempuh detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Felda Sahabat 7, Jalan Tungku, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa yang bertugas di Balai Polis Tambisan itu mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, mangsa masing-masing berumur 32 dan 34 tahun itu dalam perjalanan dari arah Tambisan menuju ke Gate 55 Felda Sahabat untuk bertugas.

Sebaik tiba di satu selekoh di lokasi kejadian,  kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

“Ketika kejadian, hujan lebat sedang berlaku menyebabkan keadaan jalan menjadi licin.

“Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.