Kenapa RUU IC Sabah Tidak Dibentang Di DUN – Warisan

(Komen Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah)

Perbezaan pandangan dalam satu-satu perkara adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi politik yang sihat.

Perkara ini harus dilihat secara holistik dan tiada keperluan untuk disensasikan kerana apa yang penting adalah motif atau hala tuju ke atas perbezaan pendapat tersebut.

Persoalan sebenar, jika ingin menyelesaikan isu pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan mengeluarkan IC Sabah, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus membentangkan Rang Undang-Undang IC Sabah atau Kad Sabah ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

Dalam isu yang dibangkitkan oleh Naib Presiden Parti STAR Sabah, Kenny Chua bahawa timbul percanggahan pendapat dalam Parti Warisan mengenai Kad Pengenalan Sabah yang meragukan antara Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking dan Naib Presiden Datuk Dr Jaujan Sambakong, bagi saya beliau berniat menimbulkan naratif negatif bahawa Jaujan membantah cadangan IC Sabah kerana ada agenda tersembunyi.

Darell konsisten dengan cadangan pemberian Kad Sabah untuk rakyat Sabah yang tulen sebagai satu langkah penyelesaian terhadap kewujudan Kad Pengenalan yang meragukan di mana beliau telah suarakan sejak Warisan menjadi pembangkang sehingga sebagai Menteri Kabinet kerajaan Persekutuan dan kini sebagai pembangkang semula.

Ahli Parlimen Penampang itu turut mengulangi pendirian yang sama dalam satu forum bersama dengan ADUN Lantikan merangkap Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang dianjurkan oleh Sabah Way Forward dan Kupi-Kupi FM mengenai topik “Do We Need Sabah IC?” pada 4 Mac yang lepas.

Bagi pihak Jaujan pulak, IC Sabah bukan penyelesaian kepada kad pengenalan yang meragukan kerana bagi beliau, isu pengesahan status kepada pemegang dokumen yang meragukan ini perlu dirujuk kepada Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang mempunyai akses secara terus kepada Ketua Kampung bagi mengesahkan status pemegang dokumen tersebut.

Maka bagi ADUN Sulabayan itu, cara terbaik adalah Jabatan Pendaftaran Negara harus bekerjasama rapat dengan MAN bukan sahaja sebagai sumber rujukan ke atas Kad Pengenalan yang meragukan tapi juga untuk setiap permohonan Surat Beranak dan MyKad yang diragui status pemohon.

Dalam konteks ini, Ketua Kampung boleh mengesahkan kepada MAN tentang status kewarganegaraan pemohon atau status perkahwinan ibu bapa yang sering kali menjadi masalah kepada anak-anak terbabit.

Jaujan telah merujuk kepada kaum etnik Murut, Lundayeh dan Dusun di pedalaman Sabah yang masih belum dilengkapi dengan dokumen pengenalan diri disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak berdaftar.

Kenny berhak untuk tidak bersetuju dengan pendapat Jaujan tapi amat tidak wajar mensensasikan perbezaan pendapat diantara Darell dan Jaujan kerana ini jelas bermotifkan politik jahat di mana ianya telah dijadikan sebagai alat untuk menjatuhkan imej Warisan oleh cybertroopers mereka di Media Sosial.

Hakikatnya, baik Darell maupun Jaujan, kedua-dua mereka melihat kepada alternatif jalan penyelesaian terhadap masalah kewarganegaraan yang meragukan dari kalangan rakyat Sabah.

Mungkin Kenny dan pemimpin-pemimpin STAR boleh bertanya juga kepada presiden STAR DSP Dr Jeffrey Kitingan kenapa apa pendirian beliau berkenaan IC Sabah ini?

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen, adakah IC Sabah ini akan Jeffrey letakkan sebagai cadangan kepada penyelesaian isu PTI di Sabah? .

Perlu diingat bahawa GRS telah mengambil alih kerajaan negeri Sabah selama hampir dua tahun tapi masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian isu PTI.

Berbalik kepada isu IC Sabah, pokok pangkalnya juga adalah niat untuk menyelesaikan isu ini yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan GRS.

Sebelum ini Yong dan pemimpin SAPP menyatakan kepada umum bahawa IC Sabah ini akan dibentangkan di Persidangan DUN yang telah diadakan dari 16 hingga 24 Mac yang lepas.

Yong semasa forum pada 4 Mac yang lepas berkeyakinan IC Sabah ini akan menjadi kenyataan pada tahun hadapan.

Malangnya, pembentangan tentang IC Sabah ini tidak dilakukan dan hanya sekadar menjadi salah satu topik dalam ucapan dasar Yong kerana tiada pembentangan dilakukan.

Kami di kalangan ADUN-ADUN Warisan juga sebenarnya sudah bersedia untuk mendengar pembentangan tersebut dan sekaligus membahaskannya bagi tujuan penambahbaikan jika perlu.

Persoalannya, kenapa RUU tersebut tidak dibentangkan atau mungkin tidak diluluskan oleh kerajaan GRS?.

Apa sahaja yang baik untuk rakyat Sabah kami di blok pembangkang pasti akan sokong asalkan ianya dijalankan berlandaskan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Nasihat saya kepada Kenny dan semua pemimpin GRS, gunakan kuasa yang kamu ada sebagai kerajaan pada hari ini untuk selesaikan isu ini secara holistik dan jangan hanya mahu mempolitikkannya.

Kenny dan pemimpin GRS sepatutnya tanya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tentang kesudahan siasatan terhadap dakwaan seorang pemegang Projek IC telah diberikan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dalam Sawit Kinabalu Sdn Bhd, sebuah GLC kerajaan negeri dan dilantik sendiri oleh Hajiji?

Pertikaian tentang status individu tersebut telah dibangkitkan oleh presiden PBS sendiri, Datuk Seri Dr Maximis Ongkili dan beberapa kumpulan aktivis di mana Hajiji telah berjanji untuk menyiasat perkara tersebut.

Sudah dua bulan berlalu namun perkara itu seakan tiada sebarang tindakan daripada pihak kerajaan.

Saya juga ingin bertanya apa pendirian kerajaan negeri Sabah sama ada untuk menolak atau menyokong pemberian Kad Warga Asing di Sabah seperti yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Februari lepas?.

Selepas Hamzah umumkan bahawa ianya adalah cadangan dari kerajaan negeri, Hajiji pulak mengatakan bahawa perkara tersebut belum dibincangkan dalam kabinet.

Rakyat Sabah tertanya-tanya apa kesudahan tentang cadangan tersebut kerana selepas dua bulan, di mana banyak mesyuarat kabinet Sabah telah dijalankan, takkan perkara ini belum diputuskan?