Kenapa Projek Mitigasi Banjir Sungai Sugud Belum Dilaksana? – ADUN Kapayan

PENAMPANG: Kerajaan perlu menjelaskan kelewatan pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Fasa 3 Sungai Sugud yang telah diluluskan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang mendesak agar Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Jeffrey Kitingan harus menjelaskan sebab kelewatan mengeluarkan dana RM9juta untuk pelaksanaan projek tersebut.

Banjir di Sugud dan Maang sudah menjadi isu utama penduduk setiap kali hujan, air sungai akan melimpah dan menyebabkan banjir.

Pada tahun lepas, Kampung (Kg) Sugud, Kg Suok Maang, Kg Buangud, Kampung Kanaapan, Kg Kodou, dan berapa kampung di sekitar Penampang menjadi ‘kampung berlumpur’ dengan lebih daripada 3,000 orang penduduk terjejas akibat banjir yang amat serius.

Pada 14 September, penduduk di Sugud mengalami malapetaka atau bencana yang sama, walaupun tidak seteruk yang berlaku tahun lalu. Selain mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda, mereka juga mengalami gangguan bekalan air dan elektrik, dan gangguan mental.

Punca banjir yang berulang disebabkan peruntukan lambat sampai untuk kerja mendalamkan sungai, dan pembinaan/pembaikan tebing Sungai Sugud dan Sungai Moyog yang sepatutnya dilaksanakan sebelum musim tengkujuh yang membawa hujan lebat yang berterusan.

Selain itu, penerokaan dan penebangan hutan yang tidak terkawal di bukit juga merupakan punca keadaan banjir kilat.

Beliau berkata, tahun lepas, pasukan sukarelawan dan kakitangan dari pejabat ADUN Kapayan telah digerakkan selama tiga bulan untuk bergotong-royong serta mengupah mesin jentolak untuk membersihkan rumah dan kawasan Kampung Sugud dan Maang.

“Pejabat saya telah memperuntukkan lebih RM30,000 untuk misi bantuan banjir dan saya juga berjaya mendapat bantuan secara barang-barang dari penderma-penderma dan menyelaras kerja membersih lumpur pada tahun lepas” kata Jannie Lasimbang, ADUN Kapayan.

Tahun lepas, Ketua Menteri berkata projek mitigasi banjir di Penampang membabitkan tiga pakej dan setakat ini dua pakej sudah dilaksanakan. [1] Namun begitu, masalah yang dihadapi oleh penduduk masih sama.

“Sempena Hari Malaysia dan juga merupakan ulangtahun pertama banjir lumpur di Sugud dan Maang, saya dan rombongan dari Pakatan Harapan Penampang telah melawat dan menilai keadaan 11 buah keluarga yang menjadi tumpuan utama kerja gotong-royong kami tahun lalu” katanya.

Kesemua keluarga yang dikunjungi menyatakan bahawa selain bantuan bernilai RM1,000 atau RM2,000, kerajaan tidak menunjukkan keprihatinan selanjutnya terhadap mangsa-mangsa banjir.

Mereka juga tidak melihat apa-apa tindakan dari kerajaan, termasuk pejabat daerah Penampang, selain pembinaan sebuah jambatan kecil di Sugud. Kerja-kerja untuk mengorek sungai tidak berkesan sebab pasir dibiarkan ditebing sungai dan menyebabkan masalah bila hujan turun.

“Sampai bila situasi ini akan berulang? Proses pengeluaran peruntukan yang lambat telah menyusahkan kehidupan penduduk di Sugud, dan Hajiji dan Jeffrey harus mengambil tindakan segera untuk mempercepatkan projek mitigasi banjir di Sugud, Penampang,” katanya.

Antara permintaan utama dan masyarakat yang perlu dipercepatkan adalah pembaikkan jalan Kg Kodou-Kanapaan yang hampir runtuh; pembuangan pasir yang telah dikorek dari sungai dan yang masih bertimbun di halaman rumah di Kg Kodou; pengukuhan tebing sungai di Kg Suok Maang; bantuan pembaikkan rumah bagi mereka yang tidak mampu; dan pembersihan/pembaikkan parit yang tersumbat.