Kenapa Perlu Tandatangan MoU Untuk Bantu Rakyat? – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyifatkan tiada keperluan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu rakyat di negara ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, usaha membantu rakyat itu adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan tanpa perlu dihadkan kepada kawasan pemimpin yang menandatangani MoU berkenaan.

“Sepatutnya tiada sebarang halangan dalam membantu rakyat memerlukan. Kita harus membantu semua rakyat yang memerlukan, bukan setakat bantuan makanan tetapi juga peluang pekerjaan dan aspek keselamatan.

“MoU yang ditandatangani tidah harus dijadikan pengukur bagi membantu rakyat di negara ini. Malah, tiada keperluan menandatangani MoU bagi melaksana reformasi di negara ini. Kita harus lebih telus dalam Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menggesa pemimpin pembangkang seperti Warisan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) untuk menandatangani MoU antara Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakyat dan tidak perlu untuk mereka menandatangani sebarang MoU.

Beliau berkata, tugas pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan akan menjadi lemah sekiranya menggunakan pendekatan MoU sebegini.

“Kita tidak mahu terikat dengan sebarang perjanjian. Kita harus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kerana itulah tujuan sebenar kewujudan pembangkang.

“Ketika berdepan pandemik Covid-19 ini, saya tidak melihat negara lain seperti di United
Kingdom mahupun Amerika Syarikat dan negara membangun lain yang mengunapakai MoU dengan pembangkang untuk bekerjasama.

“Kenapa perlu ada tekanan terhadap Warisan dan pemimpin pembangkang yang lain untuk menandatangani MoU,” katanya.

Mohd Shafie berkata, MoU itu seharusnya demi kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik. Jadi tidak perlu memaksa ahli Parlimen pembangkang untuk menandatangani MoU sebegitu.

Beliau berkata, sekiranya Semporna memerlukan lebih banyak vaksin, adakah beliau perlu menandatangani MoU untuk mendapatkan vaksin?. Walhal apa yang penting adalah membantu rakyat.

“Jika kami perlu tandatangan MoU untuk meminta bantuan bagi rakyat di kawasan masing-masing. Itu bukan berkhidmat untuk rakyat sebaliknya, sekadar ingin memenuhi kepentingan politik,” jelasnya.

Pada Isnin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

MoU itu turut ditandatangani oleh pemimpin PH lain termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.