Kenalpasti Pendekatan Baru Basmi Kemiskinan Di Sabah, Ewon

806
Ewon bergambar bersama Adun-adun dan PPM yang hadir pada majlis itu.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mahu pendekatan-pendekatan baru dikenalpasti bagi membasmi kemiskinan di negeri ini.

Langkah baru perlu diambil berikutan bilangan penduduk miskin di Sabah sehingga Januari tahun ini mencecah 74,296 orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 19,469 orang adalah miskin tegar, 19,355 orang dalam kategori miskin dan seramai 35,472 orang terkeluar dari garis kemiskinan.

“Statistik ini menuntut kita berfikir di luar kotak mencari pendekatan-pendekatan baru untuk membasmi kemiskinan.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan penglibatan pihak swasta, NGO serta kolaborasi dengan jabatan dan agensi Kerajaan lain dalam menangani isu kemiskinan ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Taklimat Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) seluruh Sabah, di Dewan Tun Sakaran TH Hotel, di sini pada Jumaat.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, bagi peringkat DUN Kadamaian beliau akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak supaya insiden kemiskinan itu dapat dicegah.

“Antaranya ialah memperkasakan Community Based Tourism yang dibangunkan oleh komuniti sendiri sebagai sebuah pasukan.

“Melalui ini, program pembangunan dan hasil bersama yang diperolehi akan dinikmati oleh semua komuniti di kampung tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Program MESEJ dan Kampung Sejahtera merupakan antara dua program pembasmian dan pencegahan kemiskinan yang dilaksanakan kementeriannya.

“Atas sebab itu, saya telah mengemukakan syor supaya Aktiviti Ekonomi Tambahan di perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera menjadi salah satu input kepada bajet Rolling Plan 4 dan belanjawan tahunan yang seterusnya,” katanya.

Usaha membasmi kemiskinan akan terus menjadi cabaran utama KPLB Sabah. Ia kerana sasaran telah ditetapkan untuk menurunkan kadar kemiskinan di negeri ini pada kadar kurang daripada satu peratus menjelang tahun 2020.

” Dengan kenaikan kos sara hidup, sudah tentunya golongan mudah miskin boleh terperangkap dengan mudah dalam kategori miskin tegar sekiranya kurang usaha diambil untuk meningkatkan sumber ekonomi dan punca pendapatan,” katanya.

Mengenai pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua-ketua Kampung di negeri ini, beliau akan meminta semua pegawai daerah menyegerakan proses perlantikan jawatan itu.

Katanya, ia penting bagi memudahkan pelaksanaan program dan projek di setiap kampung.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis dan Dumi Pg. Masdal.

Taklimat disampaikan oleh Setiausaha Tetap KPLB Sabah Datuk Abu Bakar Abdul Latif dan Pengarah KPLB Persekutuan Hamsha Injau.