Kenalpasti Kaedah Lain, Jika Jaket ‘Monyet’ Tidak Berkesan, Jaujan

300
Jaujan (tiga kiri) bersama pegawai kanan kementerian dan pemimpin masyarakat sekitar Ranau menyempurnakan simbolik pelancaran kempen berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
RANAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengenalpasti pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah kutu sampah yang berlaku di semua daerah, di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, kementerian melalui PBT akan mencari kaedah terbaik dalam berhadapan dengan kutu sampah.

Sekiranya pendekatan mengarahkan kutu sampah melakukan kerja-kerja komuniti membersihkan kawasan persekitaran sambil memakai jaket bertulis ‘Monyet’ tidak berkesan menghentikan budaya membuang sampah, PBT perlu memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan.

”Hukuman membersihkan kawasan persekitaran sambil memakai jaket ada perkataan Monyet yang dilakukan di Pekan Semporna bukan dilakukan atas niat menghina individu terlibat.

”Pendekatan ini diambil sebagai pengajaran supaya orang lain tidak akan melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata tempat.

”Niat kita baik kerana ingin mewujudkan kesedaran. Bukannya orang itu menjadi monyet ketika memakai jaket berkenaan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Kempen Tanpa Beg Plastik, Penyedut Minuman (straw) dan Polisterin Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Malah, dalam kejohanan sukan pun banyak maskot yang mewakili haiwan digunakan seperti Orang Utan dan Monyet Belanda.

Mengenai majlis itu, Jaujan mengingatkan masyarakat di negeri ini supaya mengurangkan kebergantungan kepada bahan berasaskan plastik dan polisterin dalam kehidupan.

Katanya, penggunaan plastik secara berterusan akan memudaratkan alam sekitar dalam tempoh jangka panjang kerana ia boleh menyebabkan kematian hidupan marin jika banyak bahan plastik dibuang ke kawasan laut.

Menurutnya, bahan plastik mengambil masa hingga 450 tahun untuk lupus secara semulajadi. Malah, bahan seperti polisterin pula tidak boleh dilupuskan untuk selamanya.

”Maka, kerajaan melalui kementerian saya akan mengambil tindakan proaktif agar semua pihak berkuasa di negeri ini memainkan peranan membantu mengekalkan kebersihan dan keindahan persekitaran Sabah,” jelasnya.

Pengusaha premis perniagaan termasuk premis makanan perlu menyokong usaha kerajaan ini dengan tidak lagi menggunakan beg plastik, straw dan polisterin di premis masing-masing.