Kenaikan Harga Racun Dan Baja, Kerajaan Harus Bantu Petani, Berikan Subsidi

Oleh : Yussof J. Imbang 

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengatasi isu kenaikan harga racun dan baja yang melonjak sehingga mencecah dua kali ganda ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata jika kenaikan harga bahan pertanian itu sukar dikawal, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada pekebun kecil yang terkesan.

“Saya mendengar rintihan warga petani yang amat tertekan dengan kos bahan pertanian yang melambung tinggi, ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Sebagai pemimpin akar umbi, saya sendiri terkejut dengan ‘harga kayangan’ bahan input pertanian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berharap Kementerian
Perladangan dan Komoditi yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan mengemukakan usul bantuan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok (24 Februari).

Mengulas lanjut, Masiung berharap kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan tidak lagi berdolak dalik berhubung masalah terbabit, sebaiknya mencari jalan keluar agar pekebun kecil tidak terus dibelenggu lonjakan harga bahan kimia itu.

Katanya, kenaikan harga racun rumpai dan baja bermula ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pada pertengahan tahun 2020.

“Saya mendengar keluhan rakyat khususnya warga petani yang sudahlah dibebani kos sara hidup yang tinggi dan kini lebih tertekan dengan kenaikan kos bahan pertanian.

“Namun kerajaan pada ketika itu gagal mengawal kenaikan harga bahan kimia berkenaan dan terus melonjak sehingga mencecah dua kali ganda sekarang,” jelasnya.

Masiung berkata, jika dahulu harga baja 50 kilogram di Sabah adalah sekitar RM110, namun kini harganya telah meningkat kepada RM220.

Demikian juga harga racun rumpai jenis biasa dengan isipadu 4 liter telah naik kepada RM120 berbanding hanya RM55 sebelum ini.