Kemuka Resit Hotel Palsu, SPRM Tahan Empat Penjawat Awam

S. Karunanithy

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Empat kakitangan awam sebuah agensi kerajaan persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu bagi tugasan rasmi di seluruh negara.

Berdasarkan sumber, keempat-empat penjawat awam dari kumpulan sokongan ini terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 30an dan 40an.

Kesemua mereka didapati mengemukakan resit hotel palsu dalam tuntutan perjalanan mereka.

Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut yang dibuat kira-kira 1 petang tadi.

Beliau memaklumkan kesemua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dibawakan ke Mahkamah Khas Rasuah pada  9 pagi esok bagi pertuduhan.

Beliau turut mengingatkan kakitangan kerajaan agar tidak melibatkan diri dalam mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu atau tuntutan palsu kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.