Kemuka Keputusan Saringan COVID-19 Tiga Hari Sebelum DUN Bersidang

KOTA KINABALU: Keputusan ujian calitan Covid-19 perlu dikemukakan tiga hari sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula 24 Ogos ini.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya berkata, selain mengemukakan keputusan ujian Covid-19, pihak DUN juga menetapkan hanya mereka yang sudah menerima dua dos vaksin dibenarkan menghadiri persidangan.

“Semua Ahli Yang Berhormat (YB) serta para petugas yang terlibat dalam persidangan pada kali ini wajib mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 kepada pihak kami tiga hari sebelum DUN bersidang.

“Di samping itu, lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga adalah diwajibkan,” katanya kepada media selepas mengikuti Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia secara maya semalam.

Mengulas lanjut, Kadzim berkata, persidangan Speaker-speaker itu adalah persidangan tahunan yang bertujuan untuk memperbaiki inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri.

“Persidangan disertai para Speaker DUN, Parlimen serta Dewan Negara dan Dewan Rakyat iaitu seramai 16 orang dan ini adalah program tahunan. Disebabkan pandemik Covid-19, ia tidak dapat diadakan pada tahun lalu dan dianjakkan pada tahun ini.

“Tujuan persidangan ini adalah untuk membolehkan para Speaker Parlimen dan Dun bertukar pendapat serta pandangan bagaimana untuk memperbaiki, inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri.

“Pada kali ini, kita berbincang untuk mendapatkan prosedur yang uniform khususnya dalam mengadakan sidang semasa pandemik ini,” jelasnya.

Kadzim berkata, antara isu yang dibawa dari Sabah ialah usaha bagi meningkatkan keupayaan capaian jalur lebar di negeri ini.

“Ini kerana keupayaan capaian jalur lebar agak kurang memuaskan dan ia tidak memungkinkan persidangan DUN dijalankan secara hybrid,” ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun serta Setiausaha DUN Sabah yang baharu, Rafidah Maqbool Rahman.

-TAMAT-