Kemudahan Jambatan Lebih Baik Untuk Penduduk Kurnia Jaya

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAWAU: Usaha membina jambatan kayu di Kampung (Kg) Kurnia Jaya dilihat akan membantu penduduk di kampung itu bagi menikmati kemudahan yang lebih baik.

Jambatan yang hanya dibina menggunakan kayu bakau sebelum ini sudah tidak stabil dan memerlukan struktur yang lebih kukuh.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, jambatan sepanjang 50 kaki itu dahulunya dibina secara bergotong-royong oleh penduduk di situ. Namun, keadaan jambatan itu sudah tidak selamat untuk digunakan.

Atas sebab itu, beliau mengumumkan pembinaan jambatan menggunakan kayu belian yang lebih tahan lama.

Kemudian, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini turut mengadakan lawatan ke Taman Tawau bagi melihat perkembangan kerja-kerja pembesaran longkang.

Katanya, kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan longkang di Taman Tawau itu diteruskan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan perumahan tersebut.

Christina berkata, langkah tersebut akan membantu pengaliran air ke kawasan longkang agar tidak bertakung di kawasan perumahan itu apabila musim hujan.