Kemudahan Infrastruktur, Jalur Lebar Di Perkampungan MESEJ Dipertingkatkan

NABAWAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan liputan rangkaian jalur lebar di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ).

Menterinya, Jahid Jahim berkata, rangkaian jalur lebar di MESEJ akan dapat membantu meningkatkan jaringan komunikasi bukan sahaja penduduk kampung MESEJ yang berada di pedalaman tetapi juga kepada seluruh penduduk di negeri ini.

“Pihak kerajaan telah menyediakan keperluan asas kepada peserta MESEJ seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

“Namun, liputan internet kini menjadi satu keperluan maka, kita akan tambah baik kemudahan ini agar kita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Kita berharap jurang digital di setiap kampung MESEJ dan Sabah amnya dapat disamaratakan di seluruh negara,” katanya kepada media selepas mendengar menghadiri taklimat Pejabat Daerah Nabawan dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di MESEJ Labang, semalam

Jahid mengadakan lawatan kerja tiga hari ke MESEJ Kaingaran, Tambunan, MESEJ Bunang 2, Sook, MESEJ Labang, Sapulut bermula Khmis dan berakhir pada Jumaat.

Menurutnya, lawatan tersebut adalah bagi meninjau perkembangan projek-projek kerajaan yang telah dirancang sejak 10 tahun lalu.

Katanya, antara fokus utama lawatan kerja ini adalah untuk melihat perkembangan terkini program-program pembasmian kemiskinan di peringkat akar umbi.

“Kita ingin lihat bagaimana keadaan mereka selepas projek dijalankan, adakah ianya mencapai matlamat telah dirancang atau adakah perlu sebarang penambahbaikan atau perlu diteruskan dengan keadaan sedia ada.

“Dalam pemerhatian saya dan Setiausaha Tetap KPLB, Datuk Fredian Gan, kita lihat ada peningkatan pencapaian cuma terdapat isu baharu di mana infrastruktur konvensional itu tidak mencukupi. Ianya perlu ditambah dengan liputan internet supaya dapat melengkapkan apa yang telah kita rancangkan dahulu,” jelasnya.

Untuk rekod, Sabah mempunyai 52 perkampungan MESEJ memberi penumpuan kepada tanaman getah, kelapa sawit, akuakultur, mikro pertanian, mikro akuakultur dan MESEJ Bersepadu yang bertujuan meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang tersenarai dalam e-kasih agar dapat keluar daripada garis kemiskinan.

Jahid turut mengadakan lawatan singkat ke Balai Polis Nabawan bagi menyerahkan bakul makanan kepada anggota keselamatan yang bertugas pada PKPB ini.

Turut hadir adalah ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ketua Daerah Nabawan, Peter Jonu @ Peter J. Moinjil  dan Pengurus Besar SLDB, Shaheddrul R Joddari.