Kemudahan Di Pasar Malam Api-Api Ditambah Baik, Tarik Lebih Pelancong

521
Nordin ketika ditemui media selepas lawatan ke Pasar Malam Api-Api, di sini pada Jumaat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mempelbagaikan persembahan kebudayaan dan produk pelancongan tempatan yang terdapat di Pasar Malam Api-Api.

Itu antara langkah penambahbaikan yang dilihat akan membantu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing berkunjung ke pasar malam yang diadakan setiap Jumaat dan Sabtu, di Jalan Gaya itu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Malam Api-Api, di sini pada Jumaat.

Nordin berkata, respon yang diterima pengunjung dan pelancong setakat ini amat baik. Maka, usaha perlu dipertingkatkan bagi memastikan jumlah pengunjung terus bertambah.

“Kita juga akan memperbaiki penyediaan kemudahan yang ada bagi memastikan pelancong luar akan tertarik untuk berkunjung semula ke Sabah,” ujarnya.

Pasar Malam Api-Api itu dilancarkan pada 2 Disember lalu sebagai tarikan pelancongan terbaharu di bandaraya ini. Ia dianjurkan dengan kerjasama DBKK dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Kemudian ditanya tentang aduan mengenai penutupan jalan yang terlalu awal hingga mengakibatkan kesesakan, Nordin berkata, DBKK tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai perkara itu.

Katanya, pasar malam itu diadakan bagi memberi ruang perniagaan serta membantu ekonomi masyarakat setempat.

Mengenai perkembangan terkini jejantas (sky bridge) yang menghubungkan Asia City, Centre Point dan Oceanus Mall, beliau berkata, perbincangan akan dilakukan tidak lama lagi dan perkembangan terkini akan dimaklumkan selepas itu.

Sky bridge pertama di Sabah sepanjang 350 meter itu mula dibina pada Mei 2017 dengan kos pembinaan hampir RM43 juta.

Jejantas itu dijangka mula dibuka kepada pengguna pada Februari 2018 namun sehingga kini ia masih belum beroperasi.