Kempen Pilihan Raya Bukan Tempat Untuk Bantahan

588

Oleh SURAIDAH ROSLAN 
KIMANIS: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengkritik pihak pembangkang yang menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan untuk melakukan bantahan.

Beliau, yang juga Ketua Menteri berkata, pilihan raya adalah tempat untuk berkempen bukan untuk melakukan bantahan.

Beliau juga mempersoalkan adakah semua yang hadir dalam bantahan itu adalah orang tempatan dari kawasan Kimanis atau dari tempat lain.

“Saya yakin yang penting kepada kita ialah pilihan raya. Pilihan raya bukan tempat untuk kita mengadakan bantahan.

“Kamu boleh berkempen tapi yang penting bagi kita adalah menggunakan ruang pilihan raya ini untuk berkempen, bukan untuk melakukan bantahan,” katanya ketika mengulas mengenai Perhimpunan Solidariti Rakyat untuk Membantah Pas Sementara Sabah (PSS) pagi tadi.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Makan Malam sempena Tahun Baharu Cina bersama komuniti Cina di Parlimen Kimanis, di sini hari ini.

Mengenai perjalanan kempen setakat ini, Mohd Shafie berkata, kempen pilihan raya ini sudah memasuki hari ke-12 dan hanya tinggal tiga hari sahaja lagi menjelang Hari Mengundi, 18 Januari.

Dengan masa yang berbaki itu, beliau berharap ramai pengundi yang akan turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka selaku pengundi di Parlimen Kimanis.