Kempen Di Media Sosial Cubaan Bangkitkan Kebencian Rakyat Terhadap Kerajaan Warisan

2947
Honorsius

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Kempen secara halus untuk mencemarkan imej Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dilakukan menerusi laman media sosial dipercayai usaha parti pembangkang untuk bangkitkan kebencian dan kemarahan rakyat.

Kempen di laman media sosial yang dilihat bertujuan membangkitkan ‘kebencian atau kemarahan’ rakyat terhadap Kerajaan Baharu dengan menyebarkan berita palsu mengenai dakwaan rasuah serta kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat di Sabah.

”Langkah menyebarkan berita palsu sebegitu bertujuan membangkitkan kebencian dan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan pimpinan Warisan.

”Kami tahu siapa dalang disebaliknya,” kata Pengarah Komunikasi Warisan Honorsius Datuk Alfred Bosuin.

Malah, gambar lama yang memperlihatkan kawasan Jeti Jesselton dipenuhi sampah juga digunakan semula; gambar dan video lama mengenai jalan berlubang di Jalan Telupid-Sandakan juga dikitar semula.

”Sebenarnya sudah banyak isu telah diselesaikan dan sedang diselesaikan oleh kerajaan. Jika dilihat ini antara masalah yang diwarisi daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun, sesetengah isu perlukan masa untuk diselesaikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perjumpaan Tahun Baharu Cina, di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihak tertentu cuba melakukan sebaik mungkin bagi menjatuhkan kerajaan dengan membuat dakwaan di media sosial dan langkah itu mampu menyebabkan rakyat terpedaya walaupun berita palsu itu dikitar semula.

Namun, beliau percaya rakyat di negeri ini cukup matang untuk menilai kerajaan yang ada dan rakyat harus mempertikaikan kegagalan Kerajaan BN yang tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat selama 24 tahun memerintah di Sabah.

”Amat jelas kerajaan dahulu lebih fokus kepada mengaut kekayaan sendiri sehingga gagal melihat keperluan rakyat yang mahukan kemudahan asas.

”Rakyat faham bahawa Kerajaan Baharu sedang menuju ke landasan yang betul dan sedang mengambil langkah sepatutnya untuk menyelesaikan masalah rakyat,” jelasnya.

Dengan itu, beliau menyarankan rakyat supaya tidak terpedaya dengan berita palsu yang tersebar dalam laman media sosial semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, pelbagai dakwaan dan laporan yang diputarbelitkan dalam media sosial akan dijawab oleh pihak berkuasa berkaitan dalam tempoh beberapa hari ini bagi merungkai kesangsian masyarakat mengenai gambar yang ditularkan.