Kempen Anti Rasuah Dalam Kalangan PBT Akan Terus Dipergiat – Pengarah SPRM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus mempergiat kempen kesedaran anti rasuah dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan di setiap daerah berada di landasan yang betul.

Pengarah SPRM negeri, Karunanithy A/L Y.Subbiah berkata, jika dilihat salah satu daripada empat kesalahan utama di bawah Akta SPRM 2009, Seksyen 17(b), iaitu memberi dan menawarkan sebarang suapan adalah kesalahan yang sering melibatkan anggota-anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Atas sebab itu katanya, program kesedaran terus dipergiatkan dalam kalangan PBT bagi mencegah salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Untuk itu, saya menyeru semua warga DBKK agar melaporkan sebarang penyogokan wang rasuah oleh mana-mana pihak kepada SPRM supaya mereka dapat dibawa ke mula pengadilan.

“Program yang diadakan DBKK ini langkah tepat yang dapat membantu meningkatkan integriti dan akauntabiliti PBT dalam melaksana tugasan harian.

“Ini juga jelas memberi petanda bahawa tugas memerangai rasuah bukanlah hak eksklusif SPRM semata-mata. Ia adalah tanggungjawab semua pihak dalam membantu SPRM memerangi gejala ini,” katanya semasa berucap dalam Program Bicara Integriti dan Anti Rasuah DBKK, di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Tambahnya, gejala rasuah tidak harus berlaku dalam kalangan PBT atau agensi kerajaan khususnya DBKK yang menyokong inisiatif SPRM melalui Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR).

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin SIman berkata, pelaksanaan program itu sebagai komitmen DBKK dalam membentuk jentera pentadbiran berkualiti dan berintegriti serta menolak rasuah.

Beliau berkata, penglibatan anggota perkhidmatan awam dalam rasuah hanya akan mengganggu proses pembangunan negeri yang telah dirancang.

Jelasnya, untuk itu, semua kira-kira 2,000 orang warga kerja DBKK perlu menjaga disiplin dan imej jabatan dengan tidak melibatkan diri dalam rasuah.

Katanya, semua warga DBKK perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab.