Kemiskinan Dan Pengangguran Di Labuan; Suatu Fakta Bukan Auta

Oleh SIMSUDIN HJ SIDEK
KOMEN: Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan Labuan merupakan negeri kedua termiskin dalam Malaysia selepas Sabah pada tahun 2014 dengan kadar 1.1%. Walaupun kerajaan bertegas mendakwa masalah kemiskinan di Malaysia hampir dibasmi, realiti menunjukkan sebaliknya, khususnya di Sabah, Sarawak dan W.P Labuan.

Ketidaksamaan dan kemiskinan masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan. Masih ramai rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan seolah-olah terpinggir daripada arus pembangunan pesat negara. Setiap warga negara harus menerima hasil-hasil pembangunan sesuai dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Di sebalik kadar kemiskinan yang amat tinggi, Labuan merupakan negeri ke 4 tertinggi di Malaysia berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan purata (jumlah keseluruhan pendapatan isi rumah dari sampel terpilih dibahagikan dengan jumlah isi rumah) pada tahun 2014 dan 2016 dibelakang WP Kuala Lumpur, WP Puterajaya dan Selangor dengan purata pendapatan sebanyak RM7,591 pada tahun 2012 dan RM8,174 pada tahun 2016 (*Laporan Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, 9 Oktober 2017).

SIMSUDIN SIDEK

Isu kemiskinan berkait rapat dengan pengagihan kekayaan negara. Sebuah negara walaupun berpendapatan tinggi dengan pengagihan kekayaan yang tidak baik akan mempunyai ramai rakyat yang hidup di dalam kemiskinan. Kemiskinan menerbitkan lain-lain isu sosioekonomi lain termasuk tahap pendidikan dan kesihatan yang rendah, pemakanan kurang berkhasiat, tempat kediaman kurang sempurna dan kemudahan infrastruktur yang terhad.

Pada tahun 2014, PGK Nasional (Pendapatan Garis Kemiskinan) adalah RM950 sebulan (RM1,160 untuk Sabah/Labuan). Nilai PGK ini adalah terlalu rendah dan langsung tidak realistik. RM950 inilah dijadikan sebagai nilai PGK untuk mengukur kadar kemiskinan isi rumah di negara kita. Ini dilakukan semata-mata untuk memberi imej yang positif kepada pemerintahan Barisan Nasional.

Tetapi hakikatnya, jumlah rakyat yang hidup dalam belenggu kemiskinan adalah jauh lebih besar daripada peratusan yang ditunjukkan oleh kerajaan. Berdasarkan kos sara hidup yang amat tinggi di pulau ini seperti hari ini, sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan kelihatan jauh lebih relistik untuk dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menentukan kadar kemiskinan negara.

Memang sewajarnya rakyat perlu mempersoalkan ketelusan tindakan pentadbiran BN-UMNO memburu rakyat untuk mencapai sasaran kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), walaupun menjelang akhir 2017, jumlah cukai yang dikutip LHDN meningkat hampir 100% berbanding tahun 2010 iaitu semasa Najib Razak mula-mula menjadi Perdana Menteri.

Masih ramai rakyat kususnya di pulau ini yang tidak merasa kejayaan ekonomi yang hampir setiap hari dijaja oleh pentadbiran BN-UMNO. Melalui media masssa kawalan mereka, setiap hari kita dihidangkan dengan (kononnya) kejayaan ekonomi yang telah dicapai: pertumbuhan ekonomi yang makin rancak, nilai Ringgit yang makin mengukuh, pelaburan asing yang tinggi, projek mega berbilion ringgit termasuklah 38 projek pembangunan bernilai RM752 juta akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 di pulau ini.

Malangnya, semua angka-angka dan “kejayaan” ini tidak diterjemahkan kepada peningkatan mutu hidup rakyat. Lebih ringkasnya, rakyat tidak merasa pun kejayaan-kejayaan ekonomi yang diwar-warkan itu kerana ia tertumpu di kalangan beberapa kelompok sahaja.

Ukuran sebenar peningkatan mutu ekonomi rakyat dapat dilihat dari beberapa perkara termasuklah berapa banyak peluang pekerjaan yang mampu disediakan kepada rakyat tempatan di pulau ini – peluang pekerjaan yang sesuai pada paras pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup.

Namun demikian statistik menunjukkan Labuan mencatatkan kadar penganguran tertinggi atau ke 3 tertinggi di Malaysia sejak tahun 1984 (7.6%) sehingga 2016 (7.8%) (*Laporan Jabataan Perangkaan Malaysia yang dikemaskini pada May 13,2017). Dengan kata lain, kadar pengangguran di pulau Labuan pada hari ini adalah sama seperti mana keadaannya sejak 33 tahun yang lepas.

Kerajaan seharusnya mempertingkatkan pemantauan terhadap ketirisan dalam program membasmi kemiskinan untuk meningkatkan keberkesanan. Penekanan terhadap golongan yang sukar mendapat akses ini tidak boleh dipandang mudah serta perlu diambil serius supaya mereka mendapat peluang meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Harga barang keperluan harian semua melonjak dengan kadar tinggi sejak GST dikenakan.

Sebagai antara negeri terkaya di Malaysia dari segi sumber alam semulajadi seperti minyak, gas, balak, hidupan laut serta hasil lautan dan perhutanan asli yang lain disamping mempunyai kawasan pertanian yang luas dengan kelapa sawit, getah, koko dan komoditi lain adalah amat tidak wajar dan memalukan bagi Sabah dan Labuan mendapat gelaran negeri termiskin di Malaysia.

Keadaan seperti yang kita lihat hari ini tidak mustahil berlaku apabila ketirisan, pembaziran, amalan rasuah dan kronisme yang berakar-umbi dan berleluasa secara sistematik. Gejala buruk seperti ini merupakan faktor utama yang telah melebarkan jurang kaya-miskin. Keadaan bertambah buruk dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pengguna seluruh negara.

Oleh kerana terbukti tanpa sebarang keraguan lagi bahawa rakyat tempatan Sabah dan Labuan yang terpaksa bergelut paling teruk untuk meneruskan kehidupan seharian, adalah amat diharapkan kerajaan BN-UMNO dan sekutunya mengelakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan sama sekali tidak berasas seperti yang saban hari di dendengkan di media massa kawalan mereka berbanding dengan realiti sebenar.

Apa yang jelas, rakyat bawahan kian terhimpit dalam politik perkauman sempit BN-UMNO.

• Simsudin Hj Sidek Ialah Ketua Cabang PKR Labuan

SUMBER STATISTIK: Persidangan Meja Bulat, Isu dan Cabaran Institusi Zakat di Malaysia. Anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) 3 November 2016 dan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas 2016 Oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 9 Oktober 2017.