Kemeriahan Acara Perbarisan Tarik Perhatian Pengunjung

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selepas lima tahun bertugas di Sabah, ini kali pertama Siti Khadijah Yusof,29, berpeluang menyaksikan sendiri upacara perbarisan sempena Hari Jadi Rasmi ke-66 Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT).

Beliau berkata, membawa anak-anak seawal 6 pagi untuk menyaksikan perbarisan itu antara perkara yang jarang dilakukan olehnya. Namun, tahun ini agak istimewa kerana suaminya menjadi salah seorang juri perbarisan.

SITI KHADIJAH

Ibu kepada tiga orang anak yang berasal dari Kedah ini merasa beruntung kerana berpeluang membawa kesemua anaknya melihat bagaimana kemeriahan sambutan acara perbarisan ini berlangsung.

Siti Khadijah berkata, tahun ini kebetulan suaminya bertugas di daratan kerana sebelum ini suaminya yang bertugas sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sering bertugas di luar kawasan.

“Menariknya acara sambutan ini kerana selain perbarisan terdapat juga pancaragam dan beberapa persembahan selingan lain.

“Rasa berbaloi datang seawal pagi bila dapat melihat persembahan yang dilakukan,” kata wanita yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Wanita & Kanak-kanak (HWKK), Likas.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Jabatan Perhutanan Sabah Hendra Fadzlie,34, yang berjaya merai gelaran johan perbarisan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

HENDRA FADZLIE

Hendra berkata, kejuaraan yang dicapai julung-julung kalinya itu terasa berbaloi dengan pengorbanan mereka selama sebulan berlatih tanpa mengira hujan dan panas.

“Bukan mudah untuk berlatih, fizikal kena kuat kerana kami berlatih tanpa mengira keadaan cuaca panas mahupun hujan. Dengan tanggungjawab kerja hakiki setiap hari yang perlu diuruskan, bukan mudah untuk membahagi masa antara latihan dan kerja seharian.

“Namun, apabila diumumkan sebagai johan, segala penat lelah dalam tempoh sebulan menjalani latihan kawad di Telupid terasa terbayar,” ujarnya.

Beliau berkata, selama sebulan semua anggota penguatkuasa hutan yang terlibat dalam acara perbarisan ini berkumpul di Telupid bagi menjalani latihan selama sebulan. Kesemua anggota ini datang dari pelbagai daerah di Sabah.

Hendra, yang bertugas sebagai Pengawas Hutan ini berkata, terdapat 36 orang anggota penguatkuasa hutan yang menyertai acara perbarisan berkenaan.

Katanya, walaupun mereka menyertai perbarisan sempena Hari Jadi TYT dan Hari Kebangsaan setiap tahun namun, ini adalah kali pertama pasukan mereka diumumkan sebagai juara.

Beliau berkata, mungkin mereka mempunyai kelebihan kerana dilatih oleh bekas anggota TLDM yang kini bertugas sebagai penguatkuasa di Jabatan Perhutanan Sabah.

Selain Jabatan Perhutanan Sabah, kontinjen Kementerian Pembangunan Infrastruktur juga turut diumumkan sebagai juara bagi kategori Jabatan Kerajaan tidak Berpakaian Seragam.

Sementara itu, kontinjen Taman-Taman Sabah diumumkan pemenang bagi kategori swasta/komersil; Persatuan Kadet Bomba & Penyelamat Tuaran memenangi kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)/Persatuan dan Komander Kesatria UiTM Sabah diumumkan sebagai juara kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam /Swasta.

(Visited 1 times, 1 visits today)