Kementerian Wilayah Pertimbang Projek Pelancongan Mega Pulau Kuraman

672
Khalid Samad: Projek mega di Pulau Kuruman boleh membantu meningkatkan sektor pelancongan di Labuan.

LABUAN: Kementerian Wilayah sedang mempertimbang cadangan projek pelancongan mega di Taman Laut Pulau Kuraman bernilai RM8 bilion dengan mengambil kira manfaat ekonominya kepada Labuan.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata projek itu akan membantu meningkatkan sektor pelancongan pulau itu dan menyediakan limpahan ekonomi kepada penduduk Labuan.

“Kami telah berbincang dengan Jabatan Laut dan Jabatan Taman Laut mengenai projek yang dicadangkan ini, mereka tiada bantahan selagi ekosistem marin tidak terjejas dan dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 Hari Peringatan di sini Ahad.

Beliau berkata pembangunan projek itu seperti yang dicadangkan (oleh dua jabatan berkenaan) perlu dilakukan di bahagian utara Pulau Kuraman manakala bahagian selatan, iaitu lokasi taman laut itu tidak seharusnya diusik.

“Kami mahu taman laut ini dibangunkan supaya ia menjadi tarikan pelancong dan memberi manfaat kepada industri pelancongan Labuan.

“Sudah tentu, kami tidak akan membenarkan projek itu memusnahkan ekosistem laut, jika tidak akan ada banyak rungutan daripada pencinta alam sekitar dan daripada pihak kami, akhirnya kita akan kehilangan potensi produk pelancongan (taman laut),” katanya.

Beliau berkata cadangan projek itu telah dikemukakan kepada kementeriannya tetapi belum terlibat dalam mana-mana perbincangan mengenainya dan tidak ada perjanjian ditetapkan setakat ini.

Pemaju yang berminat merupakan seorang pelabur Cina yang mengunjurkan peruntukan RM8 bilion untuk membangunkan sebuah destinasi peranginan antarabangsa dan marin di pulau itu serta mewujudkan 10,000 pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sekiranya dipersetujui, pembinaan projek mega hotel, kediaman dan komersial berkeluasan 147 hektar itu dijangka bermula awal tahun depan.

Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussein memberitahu Bernama, pelan induk 10 tahun dari 2019 dijangka memberi kesan berlipat ganda sebanyak RM1 bilion untuk Labuan yang bergantung kepada industri minyak dan gas serta sekurang-kurangnya ketibaan 800,000 pelancong setiap tahun.

Beliau berkata projek itu akan memberi kesan kepada ekonomi dan penduduk tempatan.

Projek itu terdiri daripada 16 hotel peranginan tiga ke enam bintang, kawasan bandar pelancongan, kondominium dan apartmen, marina antarabangsa, pusat kesihatan, taman tema air dunia dan restoran makanan laut.

“Akan ada tiga lagi pulau buatan manusia iaitu Kuraman 2, 3 dan 4 yang akan dibina secara berperingkat di sekitar Pulau Kuraman sedia ada dan ia akan siap sepenuhnya pada 2029,” kata Amir dan menambah Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) akan dijalankan untuk mengukur kesannya terhadap Taman Laut Labuan.