Kementerian Wilayah Persekutuan Salur RM150,000 Untuk Bangunkan Sukan Di Labuan

81

LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menyalurkan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada persatuan sukan di Labuan dalam usaha menyokong pembangunan sukan di pulau bebas cukai itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata peruntukan itu yang diberikan kepada 15 persatuan sukan, adalah untuk membantu persatuan berkenaan menggantikan peralatan sukan yang sudah uzur serta menjalankan pelbagai aktiviti sukan.

“Kami cuba melaksanakan tanggungjawab kami untuk membantu meringankan beban persatuan sukan di pulau ini dengan kemudahan yang diperlukan bagi menjalankan aktiviti sukan mereka dengan lancar,” katanya pada Karnival Bakat Sukan Labuan di Arena Antarabangsa Boling Padang Labuan di sini, hari ini.

Kesemua 15 persatuan itu masing-masing menerima RM10,000. Persatuan-persatuan itu termasuklah Persatuan Ragbi Labuan, Persatuan Akuatik Labuan, Persatuan Silat Labuan, Persatuan Renang Labuan, Persatuan Olahraga Labuan, Persatuan Wushu Labuan, Persatuan Bola Tampar Labuan, Persatuan Olahraga Amatur Labuan, Persatuan Bola Sepak Labuan dan Persatuan Badminton Labuan.

Mengenai karnival hari ini, Khalid berkata ia merupakan platform bagi para atlet sukan mengembangkan kemahiran, mental dan fizikal mereka sebagai persediaan mewakili Wilayah Persekutuan untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan berlangsung di Johor pada Julai 2020.

“Kami mahukan karnival bakat sukan diteruskan dan dilaksanakan dengan jayanya dan sistematik, kerana kami menyasarkan lebih banyak pingat di Sukma tahun depan,” katanya.

Khalid turut menggesa persatuan sukan untuk bekerjasama dengan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk kepentingan pembangunan sukan Labuan.