Kementerian Wilayah Jalin Kerjasama Strategik Dengan Airasia

52

LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menjalankan kerjasama strategik bersama Air Asia, berkaitan pengiklanan dalam penerbangan bernilai RM1 juta bagi mempromosikan tarikan pelancongan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut laporan Bernama hari ini kerjasama strategik enam bulan itu yang melibatkan pengiklanan pada ruang simpanan bagasi bahagian atas dan platform pengiklanan penerbangan itu pada kesemua 25 buah kapal terbang Air Asia, yang berpangkalan di Malaysia, Indonesia dan Thailand yang melakukan penerbangan dalam dan luar negara.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata, kerjasama ini akan memberi faedah kepada tiga Wilayah Persekutuan itu dan selaras dengan sasaran kerajaan untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong dengan pulangan pendapatan RM100 billion, bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Dengan sejumlah 85 juta penumpang setahun, kementerian kami yakin kerjasama ini akan memberikan impak kepada industri pelancongan.

“Iklan ini difokuskan kepada tarikan pelanconan di Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur … kami serius dalam mempromosikan sektor pelancongan di tiga Wilayah Persekutuan,” katanya pada majlis pelancaran Pengiklanan Dalam Penerbangan Air Asia di Lapangan Terbang Labuan di sini hari ini.