Kementerian Pendidikan Pertahan Pelantikan Naib Canselor UMS

TAUFIQ YAP YUN HIN. – Gambar internet

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan mengesahkan pelantikan Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu adalah berdasarkan kepada pengalaman beliau.

Dalam satu kenyataan akhbar, kementerian berkenaan berkata, Yun Hin yang berasal dari Kota Kinabalu mampu memacu kecemerlangan universiti ke tahap yang lebih tinggi.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan kepada kepakaran dan kelayakan akademik yang tinggi serta pencapaian beliau semasa memegang jawatan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa,” kata kementerian itu hari ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelantikan tersebut tidak bermasalah, namun dibuat atas keputusan sendiri Kementerian Pendidikan tanpa mendapat pandangan kerajaan negeri.

Kata Mohd. Shafie, walaupun mempunyai kuasa melantik, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mendapatkan pendapat daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan berkata, daripada segi pengalaman pentadbiran peringkat universiti, beliau pernah dilantik sebagai Pengetua Kolej Kediaman serta Ketua Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Katalisis Universiti Putra Malaysia (UPM).

Katanya, beliau turut mempunyai jaringan kolaboratif yang luas di peringkat antarabangsa berdasarkan pengalaman beliau ketika dilantik sebagai Felo di The Royal Society of Chemistry, United Kingdom pada tahun 2008 dan Penyelidik Jemputan di beberapa universiti terkemuka luar negara.

“Susulan daripada sumbangannya kepada universiti, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UPM pada tahun 2018 dan Anugerah Penyelidik Cemerlang, Fakulti Sains UPM pada tahun 2001 sehingga 2009.

“Selain itu, beliau merupakan penerima Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439 Hijrah atas sumbangan aktifnya dalam memupuk kemakmuran dan kesejahteraan Islam serta peranannya dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Pelantikan Naib Canselor UMS: Kementerian Pendidikan Abai Pandangan Sabah