Kementerian Pembangunan Infrastruktur Letak KPI 6 Sasaran Utama

515
Peter memoton kek sebagai simbolik pelancaran Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam Sabah hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur meletakkan indeks penilaian prestasi (KPI) terhadap enam sasaran utama yang perlu dicapai bermula tahun ini selaras dengan harapan rakyat ke arah menuju Sabah baharu.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, sasaran pertama ialah mengurangkan masalah air di seluruh negeri terutama peratusan air tidak berhasil yang masih tinggi ketika ini.

“Kedua, kita akan memulakan gerak kerja pembinaan Empangan Papar sebagai salah satu langkah penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah bekalan air di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

“Ketiga, menjalankan gerak kerja berdasarkan kajian semula Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan keempat, melengkapkan kajian kemungkinan infrastruktur terhadap rancangan pembinaan Pelabuhan Utama Kudat, pelabuhan ini dilihat berpotensi sebagai pusat perdagangan negara ke Sabah dan dari Sabah ke luar negara,” katanya dalam Majlis Amanat Menteri Pembangunan Infrastruktur hari ini.

Menurut beliau, dua lagi sasaran ialah menaik taraf jalinan sistem keretapi negeri serta memanjangkan landasan hingga ke pantai timur dan mensasarkan 94 peratus perkhidmatan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di luar bandar.

Peter bersama pegawai kanan kementerian.

Tegas Peter, untuk mencapai sasaran itu, peranan penjawat awam amat penting iaitu memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan moden kepada rakyat tanpa perlu melibatkan kos besar.

“Benar, kita memerlukan peruntukan untuk melakukan pembaharuan tetapi kita juga boleh melakukannya tanpa kos iaitu meningkatkan disiplin, menyiapkan kerja tanpa tangguh serta menjimatkan sumber pejabat.

“Bersopan santun dan bersabar melayan orang awam tidak memerlukan kos, memberikan komitmen yang tinggi terhadap standard dan mutu tidak melibatkan peruntukan serta memastikan ketelusan dalam pelbagai perkara juga tidak melibatkan pembiayaan,” tambah beliau.