Kementerian Ambil Perhatian Kes Kad Pengendali Makanan Palsu – Jaujan

137
JAUJAN SAMBAKONG

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan menyiasat perkara berkaitan pengeluaran Kad Kesihatan Pengendali Makanan palsu yang berlaku di Ranau.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, setakat ini pihak polis belum memaklumkan perkara itu kepada kementerian.

“Sejak setahun memegang jawatan dalam menteri di kementerian ini, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara sebegitu.

“Bagaimanapun kita menunggu laporan daripada pihak polis bagi membolehkan kita menjalankan siasatan kerana ini perkara baru dan kita akan mengambil perhatian,” katanya ketika ditanya mengenai kakitangan premis makanan yang mendapatkan Kad Kesihatan Pengendali Makanan melalui cara yang tidak sah.

Keperluan untuk pekerja premis makanan memiliki Kad Kesihatan Pengendali Makanan ini ditetapkan dibawah bidang kuasa Unit Kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu agensi dibawah kementerian berkenaan.

Pada Isnin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass memaklumkan tangkapan dilakukan terhadap seorang Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Ranau yang didapati melakukan perkhidmatan mengeluarkan Kad Kesihatan Pengendali Makanan palsu.

Dalam Sidang Media pagi tadi (Rabu), Zaini berkata, Polis Sabah percaya Kad Kesihatan Pengendali Makanan itu hanya dijual di kawasan Ranau sahaja.

“Siasatan awal mendapati perkara ini tidak membabitkan sindiket yang besar dan berlaku di luar kawasan Ranau,” jelasnya.

Penjawat awam berusia 37 tahun yang dipercayai melakukan aktiviti itu sejak 2014 ditahan pada 10 Julai dan telah dibebaskan dengan ikat jamin.

BERITA BERKAITAN: –

Pembantu Kesihatan Ditangkap Buat Kad Pengendali Makanan Palsu